[VIDEO] Sambutan Aidilfitri kembali bersinar, staf-pemain Kedah terima 'duit raya' RM200,000


  • Podium
  • Selasa, 25 Mac 2025

Skuad Sang Kenari menerima sumbangan keseluruhan RM200,000 menerusi Tabung Aidilfitri Pemain Bola Sepak Kedah. — Facebook/Saifuddin Nasution

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri kem Kedah Darul Aman (KDA) FC kembali menyinar apabila barisan pemain serta pegawai pasukan Sang Kenari menerima sumbangan keseluruhan RM200,000 menerusi Tabung Aidilfitri Pemain Bola Sepak Kedah. 

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Alor Setar, Kedah pada pada Selasa. 

Menurut Saifuddin Nasution, bantuan berkenaan diharapkan dapat meringankan beban pemain dan pegawai pasukan yang mengalami kesukaran akibat tunggakan gaji yang difahamkan mencecah sehingga 10 bulan.

BACA LAGI: 'We are family', Sony Norde 'support' gerai bekas rakan sepasukan di Kedah

BACA LAGI: Pengalaman di JDT bentuk karier, minit permainan bersama Harimau Kumbang tingkat keyakinan — Syamer Kutty

Saifuddin menceritakan bahawa Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh yang mencetuskan idea untuk membantu pasukan berpangkalan di Utara tanah air tersebut. 

"Dia (Ismail) hubungi saya dan mencetuskan idea. Katanya, raya dah nak dekat, pemain-pemain Kedah dah beberapa bulan tidak dapat bayaran. Dan saya fikir ini satu niat yang baik dan jika kita gerakkan jawatankuasa dan kita luncurkan. 

"Alhamdulillah saudara tak jangka-jangka dalam tempoh tidak sampai seminggu sebenarnya, kutipan kita itu sangat memberangsangkan," katanya memetik video dimuat naik di TikTok, Ismail. 

Tabung berkenaan diusahakan oleh tiga badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu meringankan beban para pemain dan pegawai skuad Hijau Kuning menjelang sambutan Aidilfitri pada akhir bulan ini. 

NGO berkenaan ialah Rangkaian Anak Darulaman Se-Malaysia (RADA), Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (SUARA) dan Persatuan Anak Darulaman Malaysia (ADAM).

Sang Kenari berdepan kemelut kewangan yang meruncing hingga pemain dan pegawai pasukan dengan Hijau Kuning itu menghadapi tunggakan gaji hampir setahun dan kini berada di tangga ke-11 Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram