
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi jaminan bahawa kakitangan kelab yang terjejas dan tidak dilindungi di bawah mana-mana persatuan boleh membawa rungutan mereka kepada badan induk bola sepak negara untuk diselesaikan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, individu yang menghadapi pertikaian gaji, seperti bekas penganalisis Kedah, Hazwan Nizam Fazil perlu mengemukakan aduan rasmi bagi membolehkan perbincangan lanjut dilakukan.
BACA LAGI: Hasrat fans Harimau Malaya lihat kelibat Jon Irazabal di kem kebangsaan tertangguh?
“Mereka boleh menghantar aduan mereka kepada FAM, dan kami akan membawa perkara itu kepada jawatankuasa status untuk pertimbangan lanjut.
"Pintu FAM sentiasa terbuka untuk mereka yang mendapatkan nasihat dan kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu,” kata Noor Azman ketika mengulas isu yang menimpa Hazwan Nizam.
Kes Hazwan Nizam menjadi perhatian apabila dia berkongsi bergelut dari segi kewangan selepas kelabnya gagal membayar gajinya selama hampir lapan bulan.
Penganalisis berpengalaman itu, yang sebelum ini memperoleh RM7,500 sebulan kini terpaksa bertahan dengan pendapatan serendah RM50 sehari selepas kelab berkenaan didakwa gagal memenuhi kontraknya.
Juster itu, kenyataan dari badan induk itu diharap dapat memberi jalan penyelesaian kepada individu lain yang menghadapi masalah sama dan memastikan kebajikan kakitangan kelab terus terpelihara.
Hazwan Nizam mendedahkan bahawa pengurusan kelab Kedah menjanjikan bantuan kewangan apabila bapanya menjalani pembedahan jantung terbuka pada November tetapi ia hanya janji kosong untuk menyedapkan hatinya.
Selain itu, Hazwan Nizam turut mendakwa bahawa kelab memintanya menandatangani dokumen secara palsu yang menyatakan bahawa gajinya telah dijelaskan untuk memenuhi keperluan pelesenan kelab.
Walaupun campur tangan FAM boleh menawarkan talian hayat, isu itu menceritakan masalah kakitangan yang lebih luas di luar persatuan pemain dan jurulatih yang mempunyai sedikit perlindungan apabila kelab enggan membayar.
Menjadi persoalan, dengan keadaan Kedah yang masih tidak menyelesaikan masalah kewangan mereka. Bagaimana proses memohon Lesen Kebangsaan dan lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi musim depan akan lulus?
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.
Untuk rekod, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) baru-baru ini mengesahkan skuad Sang Kenari menjadi antara enam kelab Liga Malaysia (Liga-M) yang telah mengemukakan permohonan, bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC dan Penang FC.
Menurut pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, status permohonan hanya akan diumumkan pada penghujung bulan ini.
Sementara itu, Majoriti masih mendapatkan jawapan daripada pemilik kelab KDA iaitu Tan Sri Dr Daud Abu Bakar dan pemangku CEO, Shahrul Shamsudin mengenai isu tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram