Mentah dalam dunia pengurusan, tertanya-tanya apa boleh ditawarkan Luis Garcia buat JDT


  • Podium
  • Isnin, 24 Mac 2025

Keputusan Tunku Ismail (kiri) melantik Luis Garcia pada awalnya menimbulkan tanda tanya. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) meneruskan usaha menaikkan lagi reputasi pasukan apabila melantik bekas pemain Barcelona dan Liverpool, Luis Garcia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab.

Keputusan tersebut menyaksikan Alistair Edwards yang sebelum ini memegang jawatan itu kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) dan Pengarah Teknikal berkuat kuasa April depan.

Rombakan itu membuktikan usaha pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu menyaksikan skuad Harimau Selatan selangkah di hadapan dalam setiap aspek di dalam mahupun di luar padang.

BACA LAGI: Tiba masa Selangor cari CEO baharu ikut jejak JDT yang sudah berjaya?

BACA LAGI: Legenda Liverpool bakal jadi CEO kelab Liga Super, JDT dan Selangor destinasi ideal

Bagaimanapun, sesetengah penyokong masih sedikit musykil dengan pelantikan Luis Garcia kerana sebelum ini, dia tidak pernah memegang sebarang jawatan di peringkat eksekutif.

Berdasarkan rekod, bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu hanya pernah berkhidmat sebagai juruanalisis bersama stesen televisyen sekitar Eropah selain menjadi duta LaLiga dan UEFA.

Namun, melihat kepada perancangan jangka masa panjang Tunku Ismail dan JDT, terdapat tiga impak boleh dicurahkan Luis Garcia dalam skuad Harimau Selatan meskipun tidak memiliki pengalaman besar dalam dunia pengurusan.

1. Tarik liputan LaLiga

Beberapa musim kebelakangan ini, juara 11 kali berturun-turun Liga Super itu mempunyai kecenderungan untuk membawa masuk pemain yang pernah beraksi di LaLiga seperti Jese Rodriguez dan Samuel Castillejo.

Kesan daripada perkara tersebut menyaksikan JDT mula meraih perhatian dari divisyen utama bola sepak Sepanyol tersebut yang sekali gus akan melebarkan liputan di peringkat antarabangsa.

Luis Garcia pernah bertugas sebagai juruanalisis LaLiga sebelum dilantik CEO JDT. 

Sebagai contoh, ketika aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite, jaringan Jese Rodriguez semasa berdepan Pohang Steelers menerima liputan TikTok LaLiga yang kemudian menerima tontonan jutaan pengguna.

Jadi, pelantikan Luis Garcia akan merancakkan lagi tarikan media Sepanyol terhadap skuad Harimau Selatan yang semestinya membawa impak positif buat skuad Harimau Selatan.

Ini kerana JDT berpeluang menarik lebih ramai pelaburan berkelas dunia yang akhirnya membantu JDT menjadi salah sebuah pasukan terbaik sekitar Asia selari dengan misi ditetapkan pihak pengurusan serta Tunku Ismail.

2. Memudahkan urusan sambar pemain LaLiga

Seperti dinyatakan di atas, JDT cukup berminat mendapatkan pemain yang pernah beraksi di divisyen teratas Sepanyol itu yang mampu menaikkan lagi mutu serta kualiti pasukan.

Bagaimanapun, dalam kalangan pemain yang dibawa masuk, rata-rata daripada mereka sudah memasuki penghujung karier atau sudah dilupakan akibat kecederaan jangka masa panjang.

Jese antara pemain berpengalaman di LaLiga yang menyertai skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Pelaburan sedemikian boleh mendatangkan kerugian kerana khidmat masing-masing hanya boleh ditagih untuk satu atau dua musim sebelum rombakan perlu dilakukan barisan kejurulatihan.

Kehadiran Luis Garcia yang pernah menjadi duta LaLiga akan memudahkan urusan tersebut dengan JDT boleh mendapatkan pemain berpotensi cerah yang kemudian boleh beraksi dalam pasukan.

Meskipun harapan itu memerlukan pelaburan besar-besaran, ia sudah tentu boleh direalisasikan memandangkan kelab itu sering mengambil langkah cermat dalam melaksanakan sesuatu.

3. Jalin kerjasama antarabangsa

JDT merupakan antara pasukan paling giat mewujudkan jalinan antarabangsa meluas kerana pada awal tahun lalu, mereka mewujudkan hubungan dengan kelab Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).

Ini bukanlah kali pertama gergasi bola sepak tanah air itu berbuat demikian kerana mereka mempunyai kerjasama rasmi dengan beberapa pasukan lain seperti Borussia Dortmund di Jerman serta Hokkaido Consodale Sapporo yang berpusat di Jepun.

JDT sudah mewujudkan kerjasama rasmi dengan PSG baru-baru ini. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Oleh itu, sekiranya mereka mahu mengambil langkah lebih jauh, hubungan antarabangsa bersama LaLiga boleh diwujudkan atau mana-mana kelab lain di negara Eropah terbabit.

Luis Garcia boleh merealisasikan hasrat itu kerana pengaruhnya sebagai pemain serta duta akan membolehkan proses rundingan yang akhirnya akan membawa keuntungan kepada kedua-dua pihak.

JDT yang mahu meraih liputan antarabangsa akan mendapat manfaat besar daripadanya sementara LaLiga mampu meluaskan lagi siaran sehingga ke rantau Asia Tenggara, bermula di Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram