Top 3: Kelebihan pada Sabah FC tapi awas Terengganu FC masih mampu pintas


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Ahad, 23 Mac 2025

Sabah FC dan Terengganu FC masing-masing memiliki kelebihan memasuki penghujung musim 2024/25. — Facebook/Terengganu FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

DENGAN Liga Bolasepak Malaysia (MFL) baru mengeluarkan kemas kini jadual Liga Super minggu ke-24 hingga ke-26 untuk meluangkan kepada perlawanan akhir Piala Malaysia pada 26 April sebagai penutup musim, ini masanya untuk mengeluarkan sempoa bagi mengira peluang pasukan-pasukan dalam perebutan tangga ketiga.

Sekali imbas pasukan-pasukan di tangga ketiga hingga kelapan masih boleh berubah kedudukan, tambahan sesetengah daripada tiga perlawanan terakhir musim – berakhir pada 19 April – membabitkan perlawanan sesama sendiri tanpa boleh menidakkan peluang Penang FC, Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang masing-masing di tangga ke-9, 10 dan 11 dengan 20 mata mampu memperbaiki sedikit kedudukan mereka.

Bagi perebutan tangga ketiga, secara matematiknya empat pasukan – Kuching City FC (KCFC), Sabah FC, Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC (KLCFC) – masih berpeluang.

BACA LAGI: Fazzruddin peniup semangat Kuching City FC kejar penyudahan Top 3

BACA LAGI: Seorang pemaaf, seorang lagi dirundung kecewa — begitulah resmi bola sepak

Kedua-dua baki perlawanan menanti skuad The Cats amat mencabar. Facebook/Kuching City FC

Cuma, KCFC mungkin paling tidak berkelebihan atas dua sebab. Pertama, The Cats masih perlu melepasi cabaran Johor Darul Ta’zim (JDT) di Kuching dalam perlawanan berikut dan kedua, mereka hanya berbaki dua perlawanan, dengan perlawanan terakhir berdepan Negeri Sembilan FC pada 19 April, berbanding pesaing terdekat yang masih berbaki tiga perlawanan.

KCFC, yang menang empat perlawanan terakhirnya dalam liga, masih tidak terjamin tempatnya di tangga ketiga sekalipun menang dua perlawanan terakhirnya nanti kerana ancaman terbesar hadirnya daripada jiran terdekat, Sabah FC, yang berkongsi jumlah 36 mata tapi berpeluang meraih sembilan mata maksimum kerana memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Dengan jadual yang akan menemukan Sang Badak dengan PDRM FC (H), KDA FC (A) dan Perak FC (H) dalam tiga halangan terakhir, kelebihan dilihat memihak Sabah FC untuk berkesudahan di belakang JDT dan Selangor FC – mengekalkan mereka di tangga ketiga buat musim ketiga berturut-turut sejak musim 2022.

Mampukah Sabah FC memenangi ketiga-tiga perlawanannya? Di atas kertas, PDRM FC, KDA FC dan Perak FC mungkin lawan yang mampu mereka ditundukkan di sebalik kekalahan 0-1 kepada PDRM FC di Selayang pada 21 September lalu. Pertemuannya dengan Perak FC pula berkesudahan 4-2 di pihaknya pada 19 Oktober manakala KDA FC ditundukkan 5-2 pada 29 Oktober.

Baki perlawanan bakal dihadapi skuad Sang Badak mampu meletakkan mereka dalam kelompok tiga teratas. Facebook/Sabah FC

Kalau pun ada sedikit keraguan, ia didasarkan kepada ‘form’ semasa setelah mereka sekadar seri dalam empat perlawanan terakhir – 2-2 dengan Sri Pahang FC, 1-1 dengan KLCFC, 0-0 dengan Selangor FC (termasuk Darren Lok terlepas sepakan penalti) dan 2-2 dengan Terengganu FC.

Andai Sabah FC ‘tersandung’ dalam baki jadualnya, sedia menunggu untuk memanfaatkan kesempatan ialah Terengganu FC di tangga kelima dengan berjurang empat mata.

“Kami perlu lebih dahulu berhabis-habisan dalam tiga perlawanan terakhir,” kongsi ketua jurulatih interim Terengganu FC, Badrul Afzan Razali, dengan Bola Pegun. 

“Kalau dapat kalahkan Selangor (di Kelana Jaya pada 5 April), ia akan menjadi bonus buat kami,” tambahnya merujuk kepada dua pertemuan selepas itu menentang PDRM FC di Stadium Selayang pada 12 April dan KDA FC di Kuala Terengganu pada 19 April.

Badrul Afzan melaungkan aksi terbaik daripada anak-anak buahnya. Facebook/Terengganu FC

Badrul Afzan mencongak ia lebih realistik untuk pasukannya berkesudahan dalam Top 5 tetapi tidak menolak untuk mendaki ke tangga lebih baik dengan bantuan sedikit tuah.

“Kalau ada rezeki boleh atas sedikit lagi di nombor 3 atau 4,” katanya yang turut melihat pasukannya mungkin bersaing sengit dengan KLCFC – pasukan di tangga keenam dengan 28 mata – yang menang tiga daripada empat perlawanan terakhirnya kecuali seri 1-1 dengan Sabah FC di Kota Kinabalu pada 21 Februari.

Perancangan Terengganu FC untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan berdepan KLCFC dan NSFC dalam bulan puasa ini tidak terlaksana atas sebab teknikal, yang meninggalkan mereka untuk bertemu TFC II sebagai pemanas badan sebelum turun beraksi dengan Selangor FC.

Persaingan tidak kurang menarik akan turut dapat disaksikan antara KLCFC (28 mata), Perak FC (24 mata) dan PDRM FC (24 mata) di tangga keenam, ketujuh dan kelapan, dengan masing-masing menyasarkan untuk berkesudahan di kelompok pertengahan liga.

The City Boys boleh mencipta momentum pada penghujung musim. Facebook/KL City FC

Secara kebetulan, ketiga-tiga pasukan tidak lagi perlu bimbangkan rintangan daripada JDT tetapi Perak FC dan PDRM FC tidak dapat mengelak daripada berhadapan dengan Sabah FC.

Sekali lagi di atas kertas, KLCFC dilihat paling berkelebihan di antara ketiga-tiga pasukan, dengan Perak FC dan PDRM FC harus berpuas hati berkesudahan dalam Top 8.

Andai itu yang berlaku, PDRM FC yang memilih merehatkan ketua jurulatihnya, P. Maniam, pada 21 Februari lalu tanpa hebahan rasmi masih boleh berpuas hati mengekalkan tangga kelapan seperti musim 2023.

Yusri Che Lah dan Perak FC kendaliannya tidak harus merungut jika dapat memperbaiki kedudukan di tangga ke-11 pada 2023, namun harus berhati-hati dalam tiga aksi terakhir menentang KLCFC (A), Sri Pahang FC (H) dan Sabah FC (A) agar tidak dipintas mana-mana daripada Penang FC, Sri Pahang FC atau KDA FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram

Baki perlawanan Liga Super

JDT FC: lwn KDA FC (A), KDN FC (H), KCFC (A)

Selangor FC: lwn Terengganu FC (H), PDRM FC (H)

Kuching City FC:  lwn JDT (H), NSFC (A)

Sabah FC: lwn PDRM FC (H), KDA FC (A), Perak FC (H)

Terengganu FC: lwn Selangor FC (A), PDRM FC (A), KDA FC (H)

KL City FC: lwn Perak FC (H), Penang FC (A), KDN FC (H)

Perak FC: lwn KLCFC (A), Sri Pahang FC (H), Sabah FC (A)

PDRM FC: lwn Sabah FC (A), Terengganu FC (A), Selangor FC (A)

Penang FC:  lwn NSFC (A), KLCFC (H), Sri Pahang FC (A)

Sri Pahang FC: lwn KDA FC (H), Perak FC (A), Penang FC (H)

KDA FC: lwn JDT (H), Sri Pahang FC (A), Sabah FC (H), Terengganu FC (A)

NSFC: lwn Penang FC (H), KDN FC (A), KCFC (H)

KDN FC: lwn JDT (A), NSFC (H), KLCFC (A)