TMJ tahu hasrat saya untuk mewakili negara — Armin


  • Podium
  • Isnin, 31 Mac 2025

Armin mempunyai hubungan baik bersama Tunku Ismail yang terbina sekian lama.

BEKAS pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Armin Maier Rafi yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia menegaskan dia mempunyai hubungan baik dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dan percaya bahawa pengalamannya mampu membantu skuad kebangsaan.

Pemain berusia 28 tahun itu pernah meluahkan hasratnya untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia selepas sudah sekian lama menyerahkan dokumen yang diperlukan oleh kerajaan untuk memperoleh pasport negara ini.

Menurut Armin, kini segalanya terletak kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang pernah menolak tawaran Singapura untuk menaturalisasikan khidmatnya kepada skuad kebangsaan negara itu.

BACA LAGI: Pernah sertai JDT & Selangor, Armin bakal buat 'comeback' Liga Malaysia?

BACA LAGI: [VIDEO] 'Hanya TMJ cuba bantu saya', pemain warisan Jerman-Malaysia akui masih tunggu 'lampu hijau' FAM

“Bagi situasi peribadi saya, saya ingin menyatakan bahawa saya mempunyai hubungan yang baik dengan DYAM TMJ dan baginda tahu tentang hasrat saya untuk mewakili negara.

“Saya sentiasa percaya bahawa pengalaman antarabangsa saya, selepas bermain di lima negara berbeza di Asia dan Eropah boleh membawa sesuatu yang berbeza kepada pasukan kebangsaan.

“Segala-galanya kini berada di tangan FAM dan TMJ, tetapi sudah tentu saya menawarkan khidmat saya kepada tanah air saya,” katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, usaha Tunku Ismail dalam merevolusikan bola sepak Malaysia adalah sesuatu yang besar dan yakin ia mampu melonjakkan ranking skuad kebangsaan di pentas dunia.

“Apa yang TMJ lakukan untuk JDT dan Malaysia memang sangat besar, sekarang baginda membawa usaha itu ke tahap yang lebih tinggi lagi dengan merekrut pemain warisan baharu untuk pasukan kebangsaan.

“Ini sudah tentu satu perkara positif kerana ia menguatkan skuad dan memastikan tiada siapa, termasuk pemain tempatan berada dalam zon selasa.

“Saya yakin inisiatif TMJ ini akan membantu Malaysia naik dalam ranking FIFA dan akhirnya layak ke Piala Asia sekali lagi.

“Apa sahaja yang dilakukan oleh TMJ sentiada membawa kejayaan,” ujarnya.

Untuk rekod, Armin yang berusia 28 tahun kini beraksi untuk FC Albstadt di Liga Jerman sambil mengusahakan akademi sendiri di Jerman.

"Saya kini berada di Jerman yang mana saya bermain untuk kelab berhampiran Stuttgart, dipanggil FC Albstadt, dalam liga Jerman.

"Ia adalah kelab dengan nama besar dan sokongan peminat yang besar di kawasan ini.

"Selain itu saya juga memiliki akademi bola sepak sendiri untuk menyampaikan pengalaman saya kepada generasi akan datang,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram