Legenda Liverpool bakal jadi CEO kelab Liga Super, JDT dan Selangor destinasi ideal


  • Podium
  • Rabu, 19 Mac 2025

Luis Garcia merupakan salah seorang tonggak utama Liverpool yang menjuarai UCL pada 2005. — Agensi

KEHADIRAN individu dari luar negara dalam badan pengurusan kelab-kelab Liga Super bukanlah satu hal baharu kerana pelantikan mereka boleh membawa dimensi baharu terhadap masa depan pasukan.

Contoh terbaik dapat disaksikan dalam Johor Darul Ta'zim (JDT) yang gemar menyerap kepakaran luar dalam membentuk identiti kelab yang profesional dan dapat berdaya saing di peringkat lebih tinggi.

Meskipun perlu mengeluarkan perbelanjaan besar, pendekatan demikian membuahkan hasil dengan pasukan Selatan tanah air tersebut berjaya mendominasi arena bola sepak tempatan buat bermusim-musim lamanya.

BACA LAGI: Sama seperti di atas padang, skuad futsal Selangor ‘rebah’ bertemu JDT

BACA LAGI: [VIDEO] Dari Colombia ke Selangor, Neyder Moreno calon sesuai ganti Yohandry Orozco

Luis Garcia ketika berkhidmat sebagai pemain Liverpool. Agensi

Jadi, tidak mustahil sekiranya mana-mana pasukan mahu mengambil insiatif tersebut dengan melantik seseorang dari luar negara untuk memegang jawatan penting dalam badan pengurusan kelab.

Hasrat itu selari dengan khabar angin terbaru yang mengatakan legenda Liverpool FC, Luis Garcia akan bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan Liga Super dalam masa terdekat.

Perkara tersebut disampaikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di laman X tanpa menyatakan kelab manakah yang berminat dengan khidmat bekas pemain antarabangsa Sepanyol terbabit.

Bagaimanapun, melihat kepada kantung kewangan pasukan tanah air, hanya dua destinasi ideal buat Luis Garcia iaitu Selangor FC dan JDT yang mempunyai alasan tersendiri untuk melantiknya.

Luis Garcia kini berkhidmat sebagai penganalisis di LaLiga. Agensi

JDT sudah tentu menjadi pilihan terbaik memandangkan kelab terbabit mahu menarik lebih ramai pemain dari Sepanyol dengan pengaruh Luis Garcia di negara tersebut akan memudahkan segala urusan.

Malah, berdasarkan semakan terbaru, dia yang kini bertugas sebagai pengulas bola sepak di LaLiga sudah mengikuti kelab Selatan tanah air berkenaan serta pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Instagram.

Namun, Selangor FC masih wajar disebut-sebut sebagai destinasi ideal berikutan kepercayaan penyokong terhadap CEO semasa, Dr Johan Kamal Hamidon kian bergelora berikutan perkembangan semasa yang tidak menentu.

Sekiranya pelantikan itu dibuat, skuad Gergasi Merah membuktikan mereka turut mempunyai keazaman tersendiri untuk memberi tekanan kepada JDT yang sudah bertahun-tahun mendominasi arena bola sepak tanah air.

Selangor dan JDT merupakan destinasi terbaik buat Luis Garcia melihat kepada struktur kewangan pasukan.

Selain pernah beraksi buat Liverpool, Luis Garcia pernah beraksi di beberapa kelab sekitar Eropah dan Amerika Utara seperti Barcelona di Sepanyol serta pasukan Mexico, Puebla dan UNAM.

Pencapaiannya sebagai pemain juga tidaklah begitu mengecewakan kerana dia sempat menjulang Liga Juara-Juara UEFA (UCL) bersama skuad The Reds dan berada dalam Pasukan Pilihan UEFA pada 2005.

Pengalamannya sebagai pemain diharapkan mampu membawa dimensi baharu buat mana-mana pasukan yang akan melantiknya sebagai CEO kelab dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram