Kalah tipis kepada JDT, fans kagum semangat juang Pahang Rangers lepas alami rombakan besar-besaran


  • Podium
  • Ahad, 23 Mac 2025

Tujuh gol terhasil dalam perlawanan epik pada Sabtu antara dua pasukan gergasi MPFL musim ini. — Facebook/Pahang Rangers FC

PERTEMBUNGAN dua pasukan teratas Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) 2025 berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor pada Sabtu yang menyaksikan pertemuan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang Rangers FC.

Kedua-dua pasukan itu boleh dianggap gergasi futsal tempatan kerana skuad Harimau Selatan hadir sebagai juara bertahan liga sementara Pahang Rangers FC menjulang kejuaraan tersebut dua musim sebelumnya.

Jadi, tidak hairanlah peminat futsal tanah air amat tertarik dengan aksi berkenaan setelah dua kelab tersebut meraih kemenangan dalam dua perlawanan awal MPFL musim ini.

BACA LAGI: Guntur tak kotakan janji bersama Pahang Rangers, teruskan kesinambungan karier di Indonesia

BACA LAGI: Tak ikut rakan berhijrah, import Brazil 'ajar' erti sebenar setia bersama Pahang Rangers

Rekod sempurna Pahang Rangers FC dalam saingan MPFL musim ini tercalar. Facebook/Pahang Rangers FC

Keterujaan itu jelas terbalas kerana aksi berakhir dengan keputusan 4-3 berpihak kepada JDT dengan empat daripada gol perlawanan dicetak dalam tempoh dua minit permainan.

Pertembungan itu turut dihiasi pelbagai momen menarik, termasuk ketika import Pahang Rangers, Matheus Moura diarah meninggalkan gelanggang setelah dilayangkan kad merah pada minit ke-19.

Keputusan tersebut menyaksikan JDT mengukuhkan lagi kedudukan di persada carta MFL dengan rekod 100 peratus selepas tiga perlawanan sementara Pahang Rangers tergelincir ke tangga ketiga.

Bagaimanapun, di sebalik kekecewaan itu, penyokong pasukan Pantai Timur terbabit bagaimanapun masih berpuas hati atas kekalahan pertama musim ini memandangkan masih terdapat ruang besar untuk memperbaiki diri.

"Walaupun kalah tipis, ia memang perit kerana kalah dengan musuh utama. Tetapi, tidak mengapa kerana selepas ini boleh bangkit semula untuk pegang semula kejuaraan," kata Amyril Hanafi Bin Omar.

Kemenangan di laman sendiri menyaksikan skuad Harimau Selatan kekal di tangga teratas MPFL. Facebook/JDT Futsal

"Okay juga nampak gaya Pahang Rangers FC, kalah dengan memberi saingan. JDT sudah berada di tahap berbeza dengan pemain berpengalaman yang mereka ada," kata Farhans Aziz.

Sebelum skuad Harimau Selatan menjadi gergasi futsal tanah air, Pahang Rangers terlebih dahulu menjadi pasukan terbaik dengan pernah menjulang dua gelaran pada 2023 iaitu MPFL dan Piala Malaysia Futsal.

Bagaimanapun, pada musim berikutnya, mereka terpaksa akur dengan perubahan selepas lambakan tonggak pasukan seperti Awalluddin Mat Nawi serta Ridzwan Bakri yang berhijrah untuk menyertai JDT.

Tidak terhenti di situ, Pahang Rangers FC sekali lagi kehilangan rata-rata watak utama sebelum saingan MPFL 2025 bermula dengan Saiful Nizam Ali dan ketua jurulatihnya, Gerard Casas meninggalkan pasukan.

Jadi, kempen kali ini merupakan satu permulaan baharu buat kelab berkenaan yang sudah tentu mahu bangkit untuk memberi saingan kepada JDT serta naib juara musim lalu, Selangor FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram