
WALAUPUN Liga Super bukanlah saingan yang diikuti oleh ramai peminat bola di seluruh dunia seperti Liga Perdana Inggeris, LaLiga atau J.League, namun ia masih mampu menarik bakat dari pelbagai negara untuk beraksi di Malaysia.
Sejak dulu, pelbagai pemain dari setiap benua sudah tiba di Malaysia untuk beraksi dan mempamerkan persembahan berkualiti mereka. Akan tetapi, terdapat beberapa negara yang begitu konsisten menjadi pilihan kelab Liga Super untuk diserap ke dalam skuad.
Tiga negara, tiga benua berbeza. Bolehkah anda teka negara mana sering menjadi pilihan kelab Liga Super untuk mendapatkan pemain?
BACA LAGI: Berjaya kejutkan Singapura, ramai anggap Nepal beri amaran buat Harimau Malaya
BACA LAGI: 'Welcome to...', nama kelab Lembah Klang dicanang destinasi Aidil Sharin
Brazil
Satu negara yang sering menjadi pilihan untuk mendapatkan pemain import, Brazil mempunyai pemain paling ramai dalam saingan Liga Super musim ini.
Mempunyai 12 pemain di serata 13 kelab, ia menjadikan Brazil satu-satunya negara yang mempunyai pemain import dengan jumlah melebihi 10 orang.
Heberty (depan) antara pemain Brazil yang berjaya di Liga Super.
Brazil sering menjadi pilihan kerana mereka mempunyai pemain yang memiliki kualiti serta skil memukau dek kerana elemen samba yang merupakan identiti bola sepak negara itu.
Pemain-pemain seperti Heberty, Gabriel Peres dan Rafael Vitor antara warga Brazil yang sudah lebih semusim beraksi di Malaysia, masing-masing bersama-sama Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabah FC dan Penang FC.
Nigeria
Jika berkata mengenai negara dari Afrika, Nigeria pastinya sering menjadi pilihan kelab-kelab Liga Super untuk mendapatkan pemain sejak dari dulu.
Sering dikaitkan dengan kualiti fizikal dan kelajuan, sejak bertahun lamanya, ramai penyerang import Liga Super diambil dari negara tersebut.
Ifedayo antara penyerang tajam dari Nigeria.
Musim ini, mereka mempunyai seramai sembilan pemain yang diambil oleh pelbagai kelab Liga Super seperti PDRM FC, Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC.
Antara pemain-pemain dari Nigeria yang beraksi di sini seperti Ifedayo Olusegun, Ismaheel Akinade dan Aliyu Abubakar.
Korea Selatan
Apabila Liga Super mula mengenakan syarat pemain import mestilah sebahagiannya daripada Asia, kita dapat lebih ramai pemain dari benua ini mula menghiasi kancah tempatan.
Salah satu negara yang menjadi pilihan adalah Korea Selatan. Sejak lamanya, Korea Selatan menjadi negara pengeksport bakat ke seluruh dunia di pelbagai tahap sehingga ke jenis gred AAA seperti Son Heung-min, Kim Min-jae dan Hwang Hee-chan.
Park Tae-su (tengah) antara pemain import popular di Sabah.
Musim ini, seramai sembilan pemain dari Korea Selatan beraksi di Liga Super. Ia menjadikan mereka negara Asia paling banyak diimport kelab Liga Super musim ini.
Antara nama-nama yang beraksi di Malaysia musim ini adalah Park Tae-su (Sabah), Park Jun-heong (JDT) dan Bae Kyung-hwan (Kelantan Darul Naim FC). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram