Tiada paksaan kelab lain hapus 'gentleman's agreement'


  • Podium
  • Jumaat, 21 Mac 2025

Arena Liga Super akan menjadi lebih kompetitif sekiranya setiap pemain pinjaman tidak terhalang untuk berdepan pasukan asalnya.

BERITA baik dikongsikan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkata, setiap pemain dipinjamkan keluar dari kelab itu tidak akan lagi terikat dengan 'gentleman's agreement'.

Ini bermakna mereka yang kini beraksi bersama pasukan baharu secara pinjaman boleh diturunkan ketika berdepan skuad Harimau Selatan kerana sekatan yang pernah ditetapkan kelab Selatan tanah air itu tidak lagi diguna pakai.

Keputusan itu sememangnya menerima sambutan baik daripada penyokong bola sepak tempatan kerana ia membuktikan JDT berani untuk berdepan setiap pemain mereka sendiri yang beraksi buat pasukan lain.

BACA LAGI: 'Baru ada fight', ramai sokong langkah TMJ hapuskan 'gentleman agreement' JDT

BACA LAGI: Ada gentlemen agreement', Selangor selit syarat berbeza dalam pinjaman 2 pemain ke Penang

Tunku Ismail menegaskan perjanjian itu tidak akan lagi diguna pakai pada tahun-tahun akan datang.

Malah, penghapusan klausa terbabit turut menerima sokongan pemerhati lokal, Afiq Rowley yang berpendapat penghapusan itu akan merancakkan saingan Liga Super pada tahun-tahun akan datang.

"Tahap kompetitif akan meningkat kerana jika kita tengok, pemain dipinjamkan bukanlah kualiti biasa-biasa sebelum ini. Sebagai contoh, ramai mahu saksikan Safawi (Rasid) atau Syamer Kutty (Abba) membuktikan keupayaan mereka semasa bertemu JDT," katanya kepada Majoriti.

Sepanjang musim 2024/25, skuad Harimau Selatan sudah meminjamkan 13 pemain, termasuk Safawi dan Syamer Kutty kerana kelab Selatan tanah air tersebut sudah memiliki lambakan pilihan lain.

Bagaimanapun, disebabkan terdapatnya 'gentleman's agreement' dalam perjanjian, kesemua daripada mereka tidak dibenarkan untuk beraksi semasa berdepan JDT yang mengundang rasa kurang senang daripada penyokong.

Terengganu FC dan Selangor FC juga wajar mengambil langkah sama bagi menghangatkan lagi arena bola sepak tempatan. Facebook/Terengganu FC

Ini kerana ketiadaan mereka yang sudah beraksi sepanjang musim akan mengganggu rentak pasukan, seperti mana dialami Terengganu FC yang tidak dapat menikmati khidmat Safawi di separuh akhir Piala Malaysia.

Kehilangan pemain sayap berkenaan adalah satu kerugian kerana dia merupakan tonggak utama skuad Sang Penyu sejak tiba secara pinjaman pada awal musim dengan 12 gol dan dua bantuan jaringan dicatatkan di peringkat domestik.

Jadi, keputusan Tunku Ismail itu sudah tentu akan menawarkan kemeriahan dalam arena bola sepak tempatan dengan pasukan lain juga wajar mengambil pendekatan sedemikian.

Namun, bagi Afiq Rowley, keputusan hanya terletak di tangan pihak pengurusan kelab masing-masing kerana kata putus hanya boleh diberikan sekiranya masing-masing yakin dengan kebolehan tersendiri.

"JDT mungkin mengambil langkah ini kerana pasukan mereka sudah cukup kuat atau Tunku Ismail sendiri membuktikan tanpa sekatan itu pun mereka tiada masalah hadapi mana-mana kelab tempatan. Untuk kelab lain, bergantung kepada mereka sendiri untuk ikut atau kekal dengannya," katanya.

Selain skuad Harimau Selatan, pasukan lain yang turut gemar meminjamkan pemain mereka ialah Selangor FC dan Terengganu FC kerana lambakan pilihan dalam skuad menyaksikan sebilangan daripada mereka sukar meraih tempat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram