CEO Sri Pahang setuju tarikh final ditukar, boleh buat persiapan lebih rapi bersama JDT


  • Podium
  • Jumaat, 21 Mac 2025

Tarikh final Piala Malaysia ditetapkan pada 26 April 2025. — Facebook/JDT

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang menyambut baik keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengubah tarikh final Piala Malaysia pada 26 April 2025 yang dilihat dapat memberi ruang kepada penyokong merancang perjalanan lebih baik.

Hal ini berikutan tarikh asal pada 12 April dilihat masih di awal tempoh perayaan dan enggan melihat penyokong-penyokong Tok Gajah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) menghadapi kekangan untuk hadir ke stadium nanti. 

BACA LAGI: Harimau Malaya masih bawah FAM, Tunku Ismail bantu kami terus maju — Presiden FAM

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan sekadar 2 bintang warisan baharu, kem Harimau Malaya diceriakan kepulangan Arif Aiman

"Bagi Sri Pahang FC, kita memahami dengan musim perayaan sekarang dan tidak mahu penyokong berdepan dengan sebarang masalah nanti di awal perayaan untuk merancang perjalanan mereka, nak beli tiket lagi dan sebagainya.

"Jadi, sebab itu kami rasa tarikh 26 April adalah tarikh yang sesuai untuk mengadakan aksi final ini di mana pada ketika itu sudah tentu penyokong lebih bersedia.

"Bukan sahaja penyokong, malah pemain dan jurulatih juga ada lebih masa untuk berlatih dengan rapi, tidaklah perlu tergesa-gesa fikir nak balik kampung dalam masa singkat dan sebagainya. 

"Jadi, saya harap dengan perubahan tarikh ini, penyokong-penyokong baik dari Sri Pahang dan JDT dapat sama-sama untuk turun padang dan merancang perjalanan dengan lebih baik untuk hadir pada 26 April nanti," katanya memetik laporan MFL. 

Terdahulu, pengelola bola sepak domestik itu mengumumkan tarikh baharu aksi final Piala Malaysia 2024-2025 telah ditetapkan pada 26 April 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada pukul 9.00 malam.

Pertimbangan semula terpaksa dibuat selepas MFL mendapat permohonan rasmi daripada Sri Pahang serta persetujuan bersama JDT.

Untuk makluman, kesemua tiket fizikal dan e-tiket yang telah dan akan dijual tertera tarikh asal perlawanan akhir pada 12 April 2025 akan kekal digunakan untuk penyokong masuk ke stadium pada tarikh baharu perlawanan akhir, 26 April 2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram