Misi selamatkan Pahang, fans terdesak mahu Alif Syukri jadi penaja Tok Gajah


  • Podium
  • Jumaat, 21 Mac 2025

Aliff Syukri dipetik antara individu yang boleh membantu memulihkan masalah kewangan Sri Pahang.

SRI Pahang FC kini sedang dalam persiapan untuk perlawanan akhir Piala Malaysia 2024 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 April ini.

Dengan pertukaran tarikh yang dibuat oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu, kelab juga mempunyai masa untuk menambah latihan mereka untuk memberi cabaran hebat kepada juara bertahan Piala Malaysia itu.

Bagaimanapun, di sebalik keterujaan final kejohanan berprestij berkenaan, penyokong Tok Gajah tidak dapat menyembunyikan kebimbangan mereka mengenai masalah dalaman yang dialami kelab Pantai Timur berkenaan.

BACA LAGI: Kisah Pahang, Kedah tambah duka hati fans tak dapat lihat JDT melangkah jauh di ACLE

BACA LAGI: [VIDEO] Insiden baling botol: TMJ, JDT sedia terima denda berat AFC, ingatkan fans terbuka terima kekalahan

Sri Pahang dilaporkan akan dibubarkan pada musim depan selepas didakwa mengalami masalah kewangan. Isu tersebut juga pernah dikongsikan oleh para pemain Tok Gajah, yang meluahkan perasaan mereka mengenai masalah gaji.

Misalnya, pertahanan tengah skuad Tok Gajah iaitu Adam Nor Azlin pernah meluahkan kekecewaan terhadap pihak atasan kelab berhubung isu kewangan menerusi Insta Story peribadinya.

Masalah berlarutan itu menyebabkan penyokong Tok Gajah mengharapkan agar kelab mereka mendapat penaja baharu dengan nama jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dipetik antara individu yang boleh membantu.

"Okey saja kalau Datuk nak taja Sri Pahang. Ikut kemampuan yang ada, ambil pemain-pemain yang sanggup terima gaji yang Datuk mampu nak bayar. Janji boleh teruskan main Liga Malaysia. Kalah menang belakang cerita," kata penyokong Tok Gajah, Jojos Jijos Jotos.

"Lebih baik jadi pemilik Sri Pahang kan lagi bagus. Mana tahu boleh juara Liga Super Malaysia," komen pengikut Tok Gajah, Roy Rz.

Anak jati Kuala Lipis, Pahang itu dilihat sesuai untuk menjadi penaja Tok Gajah apabila sebelum ini beliau pernah mengadakan rundingan untuk menjadi penaja kelab tersebut pada Januari 2016.

Bagaimanapun, kerjasama itu tidak terjalin dan selepas sembilan tahun, usahawan yang terkenak dengan tagline 'Terlajak Laris' itu sekali lagi dikaitkan dengan skuad Tok Gajah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram