'Ada gentlemen agreement', Selangor selit syarat berbeza dalam pinjaman 2 pemain ke Penang


  • Podium
  • Sabtu, 30 Mac 2024

Ankrah (kiri) dan Izhan (kanan) mempunyai syarat berbeza dalam perpindahan pinjaman mereka ke Penang FC. β€” Penang FC

MUSIM ini menyaksikan kelab Liga Super, Penang FC melakukan dua perpindahan daripada pasukan Lembah Klang iaitu Selangor FC.

Pada awalnya, mereka berjaya mendapatkan penjaga gol Harimau Malaya iaitu Sikh Izhan Nazrel bagi menguatkan barisan penjaga gol Harimau Kumbang musim ini.

Keputusan meminjamkan pemain itu kepada Penang menjadikan Sikh Izhan akan sekali lagi tidak beraksi sebagai wakil Selangor selepas dia menyertai Negeri Sembilan FC dengan terma sama pada musim lalu.

Kini, mereka berjaya mendapatkan seorang lagi pemain Gergasi Merah iaitu pertahanan import daripada Nigeria iaitu Richmond Ankrah.

Pemain yang sudah memasuki dua musim bersama Selangor masih lagi tidak mempunyai peluang untuk menembusi skuad utama dan sering bersama pasukan Selangor II sejak menyertainya pada 2022.

Perpindahan Izhan dan Ankrah dilihat sebagai salah satu usaha baik Penang untuk menguatkan pasukan sekali gus mencabar kedudukan yang lebih baik dalam Liga Super musim ini. Namun begitu, apa yang menariknya mengenai perpindahan ini adalah berkenaan syarat yang diletakkan oleh Selangor terhadap Penang.

BACA LAGI: Bakal dibuka untuk Piala Sultan Selangor, ada cadangan jadikan Stadium Merdeka gelanggang rasmi HM

BACA LAGI: Status ke Piala Uber masih tergantung, Pearly-Thinaah terima apa saja keputusan BAM

Menurut penjelasan yang dilakukan oleh Pengerusi Penang FC, Daniel Gooi kepada para penyokong mereka dalam sebuah pertemuan, Selangor telah meletakkan syarat berbeza terhadap pinjaman Harimau Kumbang terhadap Izhan dan Ankrah.

Kata Daniel, Selangor mengatakan Penang tiada masalah untuk menggunakan khidmat Izhan sepanjang musim dengan penjaga gol itu boleh diturunkan dalam setiap perlawanan termasuklah bertemu Gergasi Merah.

Namun begitu, terdapat syarat yang diletakkan dalam perjanjian pinjaman Ankrah. Syarat yang diletakkan oleh Selangor adalah Penang tidak boleh menurunkan pertahanan tersebut ketika kedua-dua kelab bertemu.

Ia menyerupai syarat gentlemen agreement yang sering dipakai oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) yang tidak membenarkan pihak lawan menggunakan pemain pinjaman apabila mereka berdepan Harimau Selatan.

Sebagai rekod, ia adalah kali pertama Selangor mengenakan syarat berkenaan dalam perjanjian pemain pinjaman terhadap saingan mereka di Liga Super.

Pemain-pemain yang dipinjamkan sebelum ini seperti Azrin Afiq, Nor Hakim Hassan serta Nik Shariff Haseefy semuanya boleh turun menentang Selangor. β€” Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram