Kemesraan TMJ-Faisal Halim hapus persepsi 'mastermind' kes simbah asid


  • Podium
  • Jumaat, 21 Mac 2025

Tunku Ismail pernah dipetik sebagai dalang yang menyebabkan Faisal menjadi mangsa simbahan asid. — Facebook/MalaysiaNT

PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan untuk hadir ke sesi latihan Harimau Malaya yang berlangsung di Padang Seri Gelam, Johor Bahru, Johor.

Hari keempat latihan berkenaan merupakan kali kedua Tunku Ismail atau mesra dengan sapaan TMJ itu hadir ke sesi latihan Harimau Malaya untuk melihat perkembangan mereka sebelum sebelum aksi pertama Kelayakan Piala Asia menentang Nepal pada 25 Mac ini.

Tunku Ismail yang juga merupakan pencetus kepada revolusi Harimau Malaya itu dilihat bertemu dengan para pemain dan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan diketuai oleh Peter Cklamovski. 

BACA LAGI: Harimau Malaya masih bawah FAM, Tunku Ismail bantu kami terus maju — Presiden FAM

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan sekadar 2 bintang warisan baharu, kem Harimau Malaya diceriakan kepulangan Arif Aiman

Menarik perhatian pada lawatan Tunku Ismail itu apabila beliau dilihat bertemu dengan penyerang sayap Selangor FC, Faisal Halim yang kembali ke Harimau Malaya selepas hampir setahun tidak dipanggil angkara kontroversi simbahan asid pada Mei 2024. 

Foto kemesraan dua individu itu menarik perhatian penyokong susulan ramai melihat ia boleh menghapus persepsi buruk yang pernah dilempar kepada Tunku Ismail sebelum ini berhubung kes simbah asid Faisal. 

"Mana yang fitnah TMJ dulu, cakap TMJ mastermind baik minta maaf. Sudah-sudah fitnah, tengok gambar pun dah nampak yang TMJ bagi kata kata semangat dekat Faisal Halim," tambah penyokong domestik, Tentang Bola.

"TMJ okey saja dengan Faisal Halim, tapi ada orang busuk hati sampai main persepsi untuk memburukkan nama TMJ sewaktu Faisal disimbah asid," komen penyokong Harimau Malaya, Bola Brigade. 

Sebelum ini, Tunku Ismail dipetik sebagai dalang yang menyebabkan Faisal menjadi mangsa simbahan asid yang dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang pada 5 Mei 20244.

Kejadian berkenaan menyebabkan pemain berusia 27 tahun berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan di badan, tangan dan muka akibat simbahan bahan cecair berbahaya itu. Disebabkan insiden itu, Faisal perlu melalui roses rawatan 'skin allograft' atau tampalan kulit.

Untuk rekod, kali pertama Faisal kembali beraksi di atas padang pada aksi Liga Super 2024 menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor pada 11 Ogos 2024. 

Faisal dimasukkan pada 10 minit terakhir sebelum perlawanan tamat berkata biarpun hanya untuk tempoh yang singkat, ia saat-saat paling dinantikan olehnya setelah sekian lama berehat akibat kecederaan melecur tahap empat yang dialaminya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram