
BEKAS pemain kebangsaan, Liridon Krasniqi kini kembali aktif beraksi di atas padang selepas sekian lama tidak mempunyai pasukan apabila kali terakhir bersama Terengganu FC pada 2023.
Pemain berusia 33 tahun itu kini sedang aktif beraksi di Baller League iaitu sebuah liga bola sepak enam sebelah yang menawarkan gaya permainan lebih bebas dan tidak terikat dengan taktik ketat atau politik bola sepak.
Untuk rekod, Baller League telah diperkenalkan di Jerman yang diasaskan oleh dua bekas pemain bola sepak profesional terkenal, Mats Hummels dan Lukas Podolski.
BACA LAGI: Harimau Malaya masih bawah FAM, Tunku Ismail bantu kami terus maju — Presiden FAM
Liridon yang mewakili Kafigtiger FC kini merupakan tonggak utama pasukan tersebut yang sedang menduduki tangga kelapan daripada 12 pasukan bertanding.
Tambah istimewa lagi, Liridon turut berkongsi dia sedang dilatih oleh legenda AC Milan, Kevin Prince Boateng dalam Instagram milkinya.
Dalam perkongsian itu, Liridon mendengar arahan dan kata-kata semangat diberikan oleh Boateng sebelum perlawanan menentang pasukan lawan.
Liridon mendengar arahan yang diberikan Boateng.
Selain itu, Liridon juga berkongsi video sedang melakukan latihan secara individu bersama Boateng bagi terus mengasah skil bola sepaknya yang pernah jadi bualan seluruh Malaysia ketika mewakili Kedah Darul Aman FC (KDA FC) suatu masa dahulu.
Selain Kafigtiger FC, Liridon juga beraksi bersama skuad simpanan FC Schaffhausen di divisyen kelima Liga Switzerland.
Menurut Transfermarkt, Liridon juga merupakan kapten pasukan selepas berjaya menjalani ujian percubaan bersama skuad utama pasukan tersebut.
Untuk rekod, sebelum ini, Liridon atau lebih dikenali sebagai Mat Don pernah menawarkan diri beraksi secara percuma buat Sang Kenari apabila pasukan itu mengalami masalah tunggakan gaji.
Jikalau Liridon cemerlang bersama Schaffhausen II ia secara tidak langsung membuka peluang bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu untuk beraksi semula bersama Harimau Malaya.
Liridon sebelum ini pernah mewakili beberapa kelab luar negara seperti Newcastle United Jets (Australia), Odisha FC (India) dan Khon Kaen United (Thailand). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram