Kedudukan masih goyah, tonggak Penang mahu tamatkan saingan Liga Super penuh bergaya


  • Podium
  • Jumaat, 21 Mac 2025

Kedudukan kesembilan bukanlah posisi baik buat skuad Harimau Kumbang yang tidak mengalami sebarang isu gaji. — Facebook/Penang FC

MESKIPUN tidak mengalami sebarang masalah pengurusan, Penang FC masih mengalami isu prestasi di atas padang kerana mereka kini berada di tangga kesembilan Liga Super selepas 21 perlawanan.

Kedudukan itu sememangnya mengecewakan buat penyokong kerana beberapa pasukan di atas mereka mengalami isu tunggakan gaji seperti Kuala Lumpur (KL) yang dapat menampilkan persembahan lebih baik.

Jadi, skuad Harimau Kumbang pasti mahu memasang cita-cita lebih tinggi untuk sekurang-kurangnya menamatkan kempen Liga Super di kedudukan lebih baik.

BACA LAGI: Sekali lagi hadir ke Stadium Bandaraya, 'ubi muda' JDT sertai Wenzel-Halls di Penang musim depan?

BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum Dylan Wenzel-Halls, Penang FC destinasi 3 import 'striker' menyerlah di Liga M

Wenzel-Halls merupakan tonggak utama skuad Harimau Kumbang sejak pertengahan musim lalu. — Facebook/Penang FC

Harapan tersebut turut dilaungkan penyerang import, Dylan Wenzel-Halls yang meletakkan misi itu dengan meminta agar rakan sepasukannya bersungguh-sungguh dalam baki perlawanan.

"Saya sememangnya berharap kita dapat menamatkan kedudukan lebih baik dan meneruskan persembahan cemerlang. Kita perlu berusaha untuk meraih mata maksimum dalam tiga aksi terakhir.

"Sudah tentu saya tahu ia merupakan satu tugas berat, tetapi kita perlu meletakkan sasaran ini dan memberikan segala-galanya. Selepas itu, kita hanya boleh berserah," katanya.

Jika skuad Harimau Kumbang merekodkan tiga kemenangan berturut-turut, mereka berpeluang melonjak ke tangga keenam, namun juga perlu melihat prestasi kelab lain.

Haziq Kutty mempunyai potensi untuk menjadi antara pemain tengah cemerlang pada masa depan. — Facebook/Penang FC

Bagaimanapun, tugasan berat menanti Penang FC yang akan berdepan Negeri Sembilan FC, KL City FC sebelum menutup kempen Liga Super 2024/25 dengan perlawanan berdepan Sri Pahang FC.

Meskipun ketiga-tiga pasukan itu juga mengalami prestasi tidak menentu, skuad Harimau Kumbang tidak boleh mengambil mudah setiap lawan dihadapi kerana mereka kerap mensia-siakan peluang sebelum ini.

Dalam pada itu, Wenzel-Halls turut memuji rakan sepasukan yang lebih muda, termasuk Haziq Kutty Abba yang menampilkan persembahan cemerlang sejak diturunkan beberapa bulan lalu.

"Dia amat menakjubkan dalam sesi latihan, terutamanya sepanjang dua bulan lalu kerana dia sudah berada di tahap menakjubkan. Dia akan menjadi pemain lebih baik pada masa akan datang.

"Haziq terus bekerja keras dan mahu mencontohi abangnya, Syamer Kutty. Jadi, saya boleh katakan Haziq mempunyai potensi besar pada tahun-tahun akan datang," katanya lagi. — The Star/S SAKTESH

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram