'Baru ada fight', ramai sokong langkah TMJ hapuskan 'gentleman agreement' JDT


  • Podium
  • Khamis, 20 Mac 2025

Tunku Ismail mengambil keputusan itu bagi menepis persepsi bahawa tindakan JDT tersebut akan memberi kelebihan buat kelab Selatan tanah air itu.

LAMBAKAN pemain dalam Johor Darul Ta'zim (JDT) menyaksikan pihak pengurusan terpaksa melepaskan sebilangan pemain secara pinjaman ke mana-mana kelab di dalam mahupun di luar negara yang berminat.

Pemain seperti Safawi Rasid, Ramadhan Saifullah serta Syamer Kutty Abba yang dibenarkan meninggalkan skuad Harimau Selatan secara sementara dengan harapan ia dapat menjamin minit permainan lebih kerap.

Namun, terdapat satu isu utama timbul berhubung perpindahan berkenaan kerana setiap kelab yang menggunakan khidmat bintang pinjaman itu tidak dapat menggunakan khidmat mereka setiap kali bertemu JDT.

BACA LAGI: Tersingkir ACLE, Tunku Ismail sudah kenal pasti kelemahan, hanya tunggu masa berbelanja besar

BACA LAGI: 'Terima kasih TMJ', kedatangan Cklamovski dihujani penghargaan buat Tunku Ismail

Safawi terpaksa akur dengan 'gentlemen agreement' yang menghalangnya daripada beraksi menentang JDT.

Sebagai contoh, dalam pertemuan antara kelab Selatan tanah air itu dengan Penang FC pada Ahad lalu, Syamer Kutty yang kerap beraksi terpaksa digugurkan barisan kejurulatihan.

Keputusan itu dibuat berdasarkan 'gentlemen agreement' yang ditetapkan JDT untuk memeterai perpindahan tersebut dengan setiap kelab seperti tiada masalah untuk bersetuju dengannya.

Bagaimanapun, penyokong beranggapan sekatan itu hanya membawa kerugian kerana rata-rata pemain pinjaman merupakan tonggak utama pasukan dengan ketiadaan mereka akan dirasai.

Tetapi, dalam perkembangan terbaru, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan klausa sedemikian akan dibatalkan, sekali gus membolehkan setiap pemain dipinjamkan beraksi menentang skuad Harimau Selatan.

Skuad Harimau Selatan memiliki lambakan pemain sehingga mendesak keputusan itu dibuat. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Jelasnya, keputusan berkenaan dibuat bagi mengelak persepsi orang ramai yang mengatakan kelabnya itu akan memiliki kelebihan sekiranya perjanjian tersebut diguna pakai.

Keputusan tersebut jelas menerima sokongan peminat bola sepak tempatan dengan rata-rata daripada mereka beranggapan hal itu akan menghangatkan lagi arena bola sepak tempatan.

"Barulah nanti ada saingan. Jika sebelum ini, pemain pinjaman hanya boleh tengok dari bangku simpanan. Kali ini, bolehlah mereka berpeluang bertemu JDT," kata Nizam Razak.

"Terima kasih TMJ, barulah penyokong dapat tengok aksi tonggak pasukan yang tiba dari JDT. Mana tahu boleh skor lawan JDT, nak tengok macam mana reaksi masing-masing," kata Jonny Rambo.

Geraldes (kiri) yang kini beraksi di Australia merupakan sebahagian pemain JDT dipinjamkan ke luar negara. Agensi

"Ini baru betul-betul 'gentlemen', harapnya akan lebih banyak kelab membenarkan pemain pinjaman diturunkan ketika berdepan majikan sebenar. Tak mahu lagi mereka terus diperam," kata Pais Naim.

Berdasarkan semakan semasa, terdapat kira-kira 13 pemain JDT dipinjamkan, termasuk di kelab-kelab luar negara seperti Fergus Tierney di Thailand serta Chico Geraldes yang kini beraksi di Australia.

Keputusan sedemikian wajar dipuji kerana ia membuktikan kesungguhan pasukan itu dalam menjaga kebajikan setiap pemain yang sudah tentu meraih minit permainan bersama pasukan baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram