
ISU tunggakan gaji dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC memaksa pemainnya mengambil inisiatif tersendiri dalam mencari sumber pendapatan lain untuk menanggung perbelanjaan keluarga.
Antara langkah diambil adalah membuka perniagaan kecil-kecilan sempena sambutan Ramadan dengan pendekatan itu diambil dua tonggak skuad Sang Kenari, Akmal Zahir dan Fayadh Zulkifli Amin.
Hal itu menerima perhatian orang ramai sehingga menyaksikan perniagaan juadah berbuka seperti nasi tomato dan ikan bakar mereka meraih sambutan cukup baik.
BACA LAGI: Wan Zack, bekas bintang Selangor dan JDT antara pemain bantu isteri berniaga sempena Ramadan
BACA LAGI: Perancis larang pemain Muslim berpuasa sepanjang Ramadan… sekali lagi
Usaha dilakukan kedua-dua pemain berkenaan dilihat dapat mengurangkan beban daripada kemelut kewangan dialami mereka setelah tidak menerima gaji buat berbulan-bulan lamanya.
Namun, di sebalik inisiatif diambil Fayadh dan Akmal Zahir, timbul rasa sebak dengan ramai berasakan pemain terpaksa bekerja keras disebabkan sikap culas pihak pengurusan.
Perasaan berkenaan dilontarkan rakan sepasukan mereka, Wan Amirul Afiq yang mengutuskan kata-kata semangat, namun sempat mengharapkan mereka terus tabah dengan ujian dihadapi.
"Sabarlah kawan-kawan. Semoga ada rezeki lain untuk kita semua," tulisnya dalam hantaran di Instastory sambil menyertakan video daripada sebuah media tempatan berhubung usaha dua pemain KDA FC itu.
Wan Amirul Afiq menyokong usaha Fayadh dan Akmal Zahir yang mencari sumber pendapatan berbeza.
Wan Amirul Afiq yang merupakan pertahanan sayap kiri Sang Kenari pasti cukup 'masak' dengan kemelut tunggakan gaji kerana juga pernah mengalaminya ketika bersama Melaka United pada 2022.
Bagaimanapun, isu tersebut tidak dijadikan alasan buat pemain kelahiran Tumpat, Kelantan itu untuk terus beraksi buat pasukannya dengan 12 penampilan Liga Super sudah direkodkannya musim ini.
Setakat ini, langkah utama diambil pihak pengurusan kelab untuk menyelesaikan isu tunggakan dialami pasukan adalah dengan melancarkan inisiatif The Wings.
Usaha berupa penjualan kad keahlian berharga RM10 kepada penyokong itu diharapkan dapat mengurangkan beban dialami pemain meskipun tahu jumlah terkumpul masih jauh berbanding sasaran awal ditetapkan.
Kekurangan itu sekali gus mendesak pemain, termasuk Akmal Zahir dan Fayadh untuk mengerah keringat masing-masing meskipun masih terpaksa hadir ke padang latihan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram