
KUALA Lumpur (KL) City FC meneruskan momentum positif dalam saingan Liga Super apabila menewaskan Kedah Darul Aman (KDA FC) dengan keputusan 3-2 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Jumaat lepas.
Dalam perlawanan berkenaan, dua gol dari pemain naturalisasi negara, Paulo Josue dan satu jaringan menerusi pemain tengah gantian iaitu Sean Gan Gianelli sudah cukup memberi kemenangan buat skuad Warga Kota.
Manakala, pasukan tuan rumah pula mendapatkan gol pertama hasil percubaan penyerang dari Serbia, Milos Gordic dan jaringan kedua pula diperoleh menerusi Fadzrul Danel pada separuh masa kedua.
BACA LAGI: Cara Johor buat kerja tak perlu heboh tapi tahu-tahu dah jadi — TMJ
BACA LAGI: JDT hitung hari, jaguh kelab China, Korea Selatan pun 'terciduk' di SSI, apatah lagi Buriram United
Keputusan di Darul Aman itu menyaksikan skuad The City Boys mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan Liga Super. KL City sebelum ini mencatat keputusan seri menentang Sri Pahang, Sabah FC serta merekodkan kemenangan ke atas Terengganu FC dan PDRM FC.
Kejayaan kecil yang diperoleh skuad Warga Kota itu dirayakan oleh bek tengahnya, Giancarlo Gallifuoco yang memuat naik hantaran foto papan putih mengenai rekod mereka pada laman X miliknya dengan kapsyen 'sampai mati Kuala Lumpur'.
Ciapan itu menarik perhatian Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan beliau dilihat juga membakar semangat bek yang sudah berkhidmat untuk Warga Kota sejak musim 2021 itu.
"Bila anda sampai 80 (perlawanan), maklumkan kepada saya," komen Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau lebih dikenali TMJ pada hantaran berkenaan.
Bekas pertahanan Melbourne Victory itu juga menyambut baik dengan cabaran pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dengan Gallifuoco akan berusaha membantu KL City mencapai penanda aras yang ditetapkan Harimau Selatan.
“Masih jauh lagi! Tapi sedikit demi sedikit. Saya akan bekerja keras setiap hari untuk membantu pasukan saya untuk hampiri rekod itu sebaik yang mungkin! Itulah penanda aras (buat pasukan),” ujarnya.
Sebaik melihat respons positif daripada pertahanan tinggi lampai itu, Tunku Ismail juga membalas, 'Itulah semangat yang kita nak. Bagus untuk anda' kepada pemain kelahiran Sydney, Australia berkenaan.
Tangkap layar perbualan ringkas antara TMJ dan Gallifuoco di laman X.
Selepas tiba di ibu kota pada 2021, Gallifuoco terus menjadi salah seorang import terbaik dalam Liga Super. Ketinggiannya yang mencecah 1.87 meter sudah cukup untuk memberikannya kelebihan dari segi fizikal bagi bersaing dengan penyerang-penyerang lawan.
Kehadirannya juga membolehkan skuad Warga Kota mencatatkan sejarah tersendiri apabila dia membantu mereka muncul juara dalam Piala Malaysia 2021.
Dengan aksi cemerlang yang ditunjukkan Gallifuoco jelas akan memberi nilai tambah kepada Harimau Malaya selepas bek berusia 31 tahun berkenaan dikhabarkan akan menjadi calon pemain naturalisasi baharu negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram