Bekas kapten Kedah kagum semangat juang Sang Kenari, pesan ingat wajah individu ada waktu 'susah'  


  • Podium
  • Ahad, 09 Mac 2025

Kedah kini berada di tangga ke-11 liga dengan mengutip 20 mata selepas 19 perlawanan. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC terpaksa akur tidak berhasil meraih tiga mata di halaman sendiri selepas tewas 2-3 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Jumaat. 

Dalam perlawanan itu, skuad Sang Kenari berpeluang mendapatkan gol sulung seawal minit ketiga hasil percubaan penyerang dari Serbia, Milos Gordic. Manakala, jaringan kedua pula diperoleh menerusi Fadzrul Danel pada separuh masa kedua. 

Dua gol dari pemain naturalisasi negara, Paulo Josue pula membantu KL City FC dan satu jaringan menerusi pemain tengah gantian iaitu Sean Gan Gianelli sudah cukup memberi kemenangan buat pasukan pelawat. 

BACA LAGI: [VIDEO] Senasib Nafuzi Zain, gugur air mata jantan Victor Andrag lepas tersungkur di Darul Aman

BACA LAGI: Jaringan roket Fadzrul Danial gagal sekat KL City bawa pulang 3 mata

Meskipun tersungkur di laman sendiri, penyokong Hijau Kuning masih memuji semangat juang skuad bimbingan Victor Andrag lagi-lagi dengan keadaan semasa yang melanda pasukan Utara tanah air itu. 

Masalah kewangan itu memaksa Victor mengisi pemain-pemain muda terdiri daripada empat pemain berusia bawah 23 tahun dan tiga pemain bawah 20 tahun susulan kelibat pemain senior dilihat kian berkurang di tengah padang dan bangku pemain simpanan.

Semangat juang pemain dan kakitangan yang masih setia bersama Kedah itu juga mendapat pujian dan penghormatan daripada bekas ketua pasukan skuad Hijau Kuning, Khairul Helmi Johari.

Menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, Khairul Helmi yang pernah menyarung jersi Sang Kenari dari 2007 hingga 2022 itu berkata, setiap usaha yang dicurahkan oleh pemain harus dihargai. 

"Aku sebenarnya banyak nak tulis pasal pasukan bola kita tapi nanti takut tersangkut sana sini. Tapi apa pun, semalam (Jumaat) anda semua yang main memang cukup bagus dah. Bangga tengok! Bagus!

"Tidak apa, buat masa sekarang, keputusan kita semua tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa. Sebab apa? Sebab tidak ada siapa yang main untuk kalah! Tahniah kepada barisan jurulatih, pemain dan semua pegawai pasukan. 

"Sekarang ini, anda ingat muka-muka jurulatih, kawan-kawan, penyokong yang sentiasa bagi sokongan, tidak kira datang stadium atau tidak, janji tetap sokong masa anda tengah 'susah' ini. 

"Sebab apa tau? Nanti bila anda main bagus, anda masuk final, yang anda tak kenal, yang anda tidak pernah tengok, tiba-tiba akan muncul. Biasalah semua itu. Apa pun, aku doakan semoga anda semua kuat, sabar, dan bersemangat untuk lalui masa-masa susah ini," katanya.

SHAH ALAM 20 MAY 2017. Ketua pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari melihat Piala FA ketika menuju pentas untuk menerima Piala tersebut selepas kedah raih kejuaraan kalahkan Pahang 3 - 2 selepas aksi perlawanan akhir Piala FA antara Pahang dengan Kedah di Stadium Shah Alam. STR/OWEE AH CHUN.

 Khairul Helmi atau yang lebih mesra disapa Keon yang telah bersama Kedah FC selama 14 tahun. — Facebook/KDAFC

Penghargaan yang diberikan oleh Khairul Helmi itu mendapat maklum balas daripada kebanyakan penyokong Kedah dengan ia dianggap boleh meningkatkan lagi motivasi para pemain dan jurulatih untuk meneruskan perjuangan bersama Sang Kenari. 

Bersama Kedah, Khairul Helmi berjaya memenangi semua kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia iaitu Liga Super (2006/2007, 2007/2008), Piala Malaysia (2007, 2008, 2016), Piala FA (2007,2008,2017,2019), Liga Perdana (2005/2006, 2015) dan Piala Sumbangsih (2017).

Untuk rekod, masalah kewangan Kedah semakin merisaukan apabila pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar sebelum ini memaklumkan pasukan berkenaan berdepan tunggakan gaji hampir 10 bulan. 

Memetik laporan media pada Februari lalu, Mohd Daud bagaimanapun menjelaskan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk menyelesaikan isu berkenaan selain turut membuat bayaran pendahulu bagi membantu pemain menanggung keperluan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram