Wan Zack, bekas bintang Selangor dan JDT antara pemain bantu isteri berniaga sempena Ramadan


  • Podium
  • Rabu, 05 Mac 2025

Gopi Rizqi (kiri) dan Norhakim Isa mengambil peluang untuk berniaga pada bulan Ramadan. — Facebook/Harimaumalaya

SEMPENA bulan Ramadan, pemain bola sepak juga seperti individu lain yang mengambil peluang untuk meningkatkan amal ibadah dan memperoleh pahala melalui pelbagai aktiviti baik.

Segelintir pemain bola sepak yang sedar akan kepentingan bulan ini bukan sahaja dari segi ibadah, tetapi juga dalam meringankan beban keluarga mereka terutamanya isteri yang mungkin terpaksa bekerja keras semasa bulan puasa.

Sebagai contoh, ada pemain bola sepak yang memilih untuk memperbanyakkan amal ibadah seperti berdoa, membaca al-Quran dan bersedekah.

BACA LAGI: Dulu ligat atas padang, Gopi kini berniaga di bazar Pontian

BACA LAGI: 'Yang bergaji wajib beli', kiper KDN cari duit belanja jual kuih raya sepanjang Ramadan

Namun, ada juga daripada mereka yang mengambil peluang untuk membantu meringankan beban isteri mereka yang berniaga pada bulan Ramadan.

Keprihatinan itu bukan sahaja menunjukkan nilai kekeluargaan yang tinggi, tetapi juga menambah kebaikan dengan niat yang murni yang pemain tersebut mahu memperbanyakkan pahala sambil berusaha untuk memudahkan kehidupan keluarga mereka.

Dengan membantu isteri dalam urusan perniagaan, pemain bola sepak bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab sebagai suami yang penyayang namun juga memberikan contoh yang baik kepada orang ramai.

Itulah antara yang ditunjukkan Wan  Zack Haikal Wan Noor apabila bintang bola sepak Perak FC itu tidak menjadikan statusnya sebagai pemain bola sepak tanah sebagai satu penghalang, malah dijadikan pendapatan sampingan apabila tidak malu berniaga di bazar Ramadan.

Berikut Majoriti senaraikan empat pemain tempatan yang membantu keluarga masing-masing berniaga sempena bulan Ramadan.

1. Wan Zack Haikal Wan Noor

Tonggak Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Noor antara pemain bola sepak tanah air yang turut mencuri tumpuan penyokong tanah air.

Bekas pemain kebangsaan itu dirakam sedang berniaga air balang di bazar Ramadan di Meru, Ipoh.

Menerusi video yang dikongsikan di Facebook itu, orang ramai dilihat beratur panjang untuk membeli air di gerainya.

Menariknya, legenda Manchester United, 'David Beckham' juga dilihat sedang berada di barisan depan, namun individu terbabit bukanlah bintang The Red Devils sebaliknya seorang peminat yang menyarung jersi pasukan Eropah itu.

Bukan sahaja mahir mengawal bola di atas padang, Wan Zack juga memiliki bakat terpendam dalam bidang perniagaan, terbukti apabila dia cekap dalam mencedok air ketika berniaga di bazar Ramadan.

2. Gopi Rizqi

Bekas pemain Selangor, Muhammad Gopi Rizqi kini menceburi bidang perniagaan dengan menjual air balang sepanjang bulan Ramadan di bazar Pontian, Johor.

Bekas pemain sayap kebangsaan itu memulakan kariernya bersama Pahang sebelum kelincahannya di atas padang menarik minat pasukan besar seperti Selangor dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pemain sayap lincah, Gopi Rizqi berniaga air balang sempena bulan Ramadan di Johor. — Facebook/Harimaumalaya

Malah, Gopi Rizqi yang pernah beraksi untuk Pahang itu turut mengumpul enam kaps sepanjang menyarung jersi Harimau Malaya bermula 2012 hingga 2015.

Menerusi hantaran yang dikongsikan di laman rasmi Facebook, air balang jagung merupakan antara jualan Gopi Rizqi di bazar berkenaan.

Niat murni Gopi Rizqi untuk berniaga di bazar juga menunjukkan bahawa dia tidak hanya bergantung pada popularitinya sebagai pemain bola sepak, tetapi berusaha untuk mendapatkan wang tambahan sempena bulan puasa.

3. Norhakim Isa

Bekas pemain tengah Perak FC, Norhakim Isa turut tidak ketinggalan menceburi aktiviti berniaga pada bulan Ramadan ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Norhakim berkongsi kuih cucur udang bersama kuah kacang menjadi pilihan utama dalam menu jualannya.

Dengan nama perniagaan Miker Food, Norhakim dilihat menjalankan perniagaan di bazar Stadium Ipoh, Perak dan berjaya menarik perhatian para pengunjung untuk membeli jualannya.

Gerai bekas pemain tengah kreatif Perak dan Selangor, Norhakim Isa diserbu pengunjung. — Facebook/Harimaumalaya

Niat murni Norhakim untuk membantu keluarga dan menceburi bidang perniagaan patut dipuji.

Walaupun sudah tidak beraksi dalam mana-mana kelab, ia tidak menghalangnya untuk terus aktif dalam dunia perniagaan.

Menurut Transfermarkt, kali terakhir Norhakim beraksi di atas padang adalah ketika menyarung jersi Selangor dalam kekalahan 2-3 kepada Perak FC pada 10 Julai 2019.

4. Khatul Anuar

Penjaga gol Kelantan Darul Naim FC, Khatul Anuar Md Jalil turut dilihat menjalankan perniagaan kuih raya sebagai usaha untuk mendapatkan wang tambahan sempena Ramadan dan Syawal.

Khatul memasarkan kuih raya jenis Crunchy Cornflakes Cookies dengan harga RM28 untuk satu balang dan RM55 untuk dua balang.

Tangkap layar Instastory milik Khatul Anuar.

Dalam perkembangan terkini, Khatul menerusi Instastory miliknya mengucapkan syukur selepas 40 balang Crunchy Cornflakes Cookies telah ditempah.

Menurutnya sambil disertakan emoji wajah tertawa, sasaran jualan Key Performance Indicator (KPI) untuk produk tersebut adalah 100 balang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram