
Bola Pegun menemui pembaca dengan tumpuan kepada pemain beragama Islam yang tetap cekal mengerah kudrat di padang sepanjang Ramadan. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, cuba berkongsi sorotan mengenai pasukan-pasukan di pelbagai liga dengan kisah mereka masing-masing.
PERSEKUTUAN Bola sepak Perancis (FFF) sekali lagi menimbulkan keributan susulan larangannya untuk pemain-pemain Muslim berpuasa sepanjang Ramadan ketika berlatih dengan pasukan kebangsaan – mencetuskan tuduhan diskriminasi dan memecah-belahkan pasukan.
FFF dilaporkan sudah memaklumkan kepada pemain-pemain Muslimnya bahawa mereka tidak dibenarkan berpuasa di pusat latihan Clairefontaine. Mereka hanya boleh meneruskan berpuasa selepas berakhirnya jadual pertandingan antarabangsa.
"Hijab dilarang bagi wanita dan kini timbul pula larangan berpuasa buat pemain-pemain sepanjang Ramadan. Perancis terus menjadi juara sikap anti-Muslim," kata wartawan sukan Kanada, Shireen Ahmed, di platform X.
BACA LAGI: Ikut langkah ayah, anak Razman Roslan kini berdarah Merah Kuning
BACA LAGI: Kena belanja anak buah makan, hadapi mogok pemain antara cabaran Victor Andrag kendali Kedah
Kebanyakan pemain skuad Les Bleus datang dari latar belakang Afrika dan Afrika Utara seperti Ousmane Dembele, N’Golo Kante, Elias Guendouzi, Ibrahima Konate dan Ferland Mendy. Tahun lepas, pemain tengah remaja, Mahamadou Diawara, menarik diri daripada skuad bawah 19 tahun sebagai tanda protes.
"Mereka percaya agama mereka tidak dihormati, begitu juga dengan mereka sebagai pemain bola sepak profesional," kata seorang ejen seperti dilaporkan moroccoworldnews.com.
Presiden FFF, Philippe Diallo, mempertahankan keputusan itu dengan memberitahu akhbar harian pagi Le Figaro: "Tidak ada diskriminasi terhadap sesiapa. Tapi apabila kita berada dalam pasukan (kebangsaan) Perancis, kita hendaklah menghormati peraturan yang ada."
Philippe Diallo. — Agensi
Beliau turut merujuk kepada peraturan FFF yang menguatkuasakan pendirian neutral serta mengharamkan ekspresi politik atau keagamaan dalam perlawanan.
Ini bukanlah kali pertama FFF mencetuskan kontroversi. Tahun lalu, pengadil diarah tidak memberhentikan permainan seketika untuk pemain Muslim berbuka puasa – berlawanan dengan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Bundesliga yang membenarkannya.
Penyokong kelab Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), turut merentangkan kain pemidang yang tertulis: "Sebiji tamar, segelas air jadi igauan buat FFF."
Menurut badan induk bola sepak Perancis itu, permainan yang terhenti seketika untuk pemain Muslim berbuka puasa "tidak mematuhi statut FFF".
"Ideanya ialah ada waktu untuk apa-apa sahaja. Ada waktu untuk bermain sukan, ada waktu untuk seseorang menjalani ibadah agamanya," Presiden Suruhanjaya Pengadil Persekutuan (FRC), Eric Borghini, memberitahu AFP.
Penyokong PSG, merentangkan kain pemidang yang tertulis: "Sebiji tamar, segelas air jadi igauan buat FFF." — Agensi
Kepada ahli jawatankuasa eksekutif FFF itu, ia tidak lebih daripada menguatkuasakan artikel pertama daripada statut FFF yang menuntut rasa hormat terhadap prinsip sekularisme dalam bola sepak.
FFF juga menguatkuasakan larangan berhijab buat pemain wanita sekalipun selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menarik balik larangannya sendiri. Gesaan untuk bertindak, bagaimanapun, semakin lantang. Satu podcast "Everything Is Futbol" menggesa pemain-pemain Muslim memboikot pasukan kebangsaan kerana larangan berpuasa.
"Anda akan lihat bagaimana cepatnya Perancis akan mengubah pendiriannya apabila menyedari ia tidak mampu menampilkan pasukan kebangsaan yang bagus tanpa pemain-pemain dwi-kewarganegaraan Perancis/Afrika," katanya.
Kita akan lihat apa perkembangannya menjelang aksi suku akhir secara timbal balik menentang Croatia dalam Liga Negara-Negara UEFA pada 21 dan 24 Mac ini.
Kebanyakan pemain skuad Les Bleus datang dari latar belakang Afrika dan Afrika Utara. — Agensi
Dalam kontroversi tahun lalu, media Perancis melaporkan FFF enggan tunduk kepada desakan bagi mengelakkan sebarang provokasi selain memetik Artikel 1.1 perlembagaannya bagi mengelakkan sebarang representasi keagamaan ketika perlawanan.
Langkah tidak bertimbang rasa itu turut mencetuskan perdebatan terhadap pertimbangan tuntutan keagamaan dalam sukan di samping membangkitkan persoalan kepada perlunya bersifat inklusif dan meraikan kepelbagaian dalam kalangan komuniti bola sepak.
Keputusan itu, yang menawarkan alasan untuk menegakkan peraturan sedia ada, menyaksikan pelbagai pihak, termasuk penyokong, membantah pendirian berkenaan sehingga melabel FFF mengamalkan Islamofobia.
Digne menganggap FFF masih tidak berganjak dari zaman silam dengan menulis: '2023' yang diiringi emoji menekup muka. — Instagram
Pemain kebangsaan Perancis dan bek Aston Villa, Lucas Digne, memuat naik komen dalam akaun X miliknya, dengan menganggap FFF masih tidak berganjak dari zaman silam dengan menulis: '2023' yang diiringi emoji menekup muka.
Bintang PSG, Achraf Hakimi, yang mempunyai kontrak dengan kelab ibu kota Perancis itu sehingga 30 Jun 2026, turut terkesan dengan larangan FFF itu.
Ketegangan Islamofobia adalah tinggi di Perancis susulan satu pengumuman melarang daging halal selain larangan perempuan bawah 18 tahun daripada mengenakan hijab. Namun, mengambil kira negara itu memiliki ramai warga Islam dari utara dan barat Afrika, kedegilan FFF itu yang mengamalkan sekularisme rata-rata tidak disenangi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram