
KEMENANGAN 7-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada Sabtu lalu mengesahkan status Selangor FC sebagai naib juara Liga Super buat musim kedua berturut-turut.
Pencapaian itu sekali gus menyajikan peluang buat skuad Gergasi Merah menambah baik prestasi di pentas Asia selepas hanya menamatkan aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two 2024/25 di peringkat kumpulan.
Jadi, dalam usaha memberikan persembahan lebih memuaskan pada kempen akan datang, rombakan secara besar-besaran perlu dilakukan terhadap pasukan, termasuk terhadap barisan pemain import.
BACA LAGI: Kalamullah nekad kekal tampil aksi terbaik bersama Gergasi Merah
BACA LAGI: 'Once upon a time', bek Tok Gajah kongsi kenangan bersama Selangor, hint sertai Gergasi Merah?
Harapan itu sememangnya sudah ditekankan penyokong kerana masing-masing seperti kurang berpuas hati dengan pemain luar negara dimiliki skuad Gergasi Merah musim ini.
Bagi mereka, kelab Lembah Klang itu perlu mencari seseorang dengan pengalaman di pentas Asia kerana mereka tidak perlu memakan masa untuk menyesuaikan diri dengan rentak permainan serta persekitaran.
Oleh itu, sekiranya Selangor FC mahu berbuat demikian, pihak pengurusan wajar mengambil langkah lebih mudah dengan membawa masuk bekas import Liga Super yang pernah beraksi dalam kejohanan sedemikian.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga calon boleh disambar skuad Gergasi Merah kerana masing-masing pernah beraksi di pertandingan peringkat benua bersama Kedah, Sabah dan Terengganu.
1. Mahmoud Al Mardi
Gosip yang mengaitkan pemain kebangsaan Jordan, Mahmoud Al Mardi dengan Selangor FC bukanlah hal baharu kerana ia sudah kedengaran sejak dia bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Ini kerana pemain itu adalah seorang yang serba lengkap kerana boleh menciptakan peluang buat pasukan.
Al-Mardi merupakan nadi utama skuad Sang Kenari ketika beraksi di pentas Asia. — Facebook/KDA FC
Jadi, hal itu boleh direalisasikan musim ini kerana Selangor FC boleh menawarkan peluang beraksi dalam ACL Two buat pemain berusia 31 tahun berkenaan.
Dia yang kini beraksi buat Al Hussein SC merupakan pemain wajar dibawa ke dalam skuad Gergasi Merah kerana boleh menggantikan Yohandry Orozco yang mungkin berhijrah.
Selain itu, Al Mardi boleh diturunkan sebagai pemain sayap yang merupakan satu pendekatan kerap diambil pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi.
2. Ramon Machado
Isu penyerang perlu menjadi topik utama skuad Gergasi Merah pada jendela perpindahan kali ini kerana mereka perlu melepaskan Ronnie Fernandez.
Jadi, siapakah calon lebih baik untuk menggantikan pemain kebangsaan Chile itu dengan Selangor FC perlu membawa masuk seorang yang memiliki sentuhan penyudah berbisa?
Ramon merupakan penyerang berbisa buat skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC
Calon terbaik sudah tentu bekas peledak Sabah FC, Ramon Machado yang kini beraksi di Azerbaijan selepas meninggalkan kelab Borneo tanah air berkenaan.
Ini kerana penyerang itu memiliki rekod cemerlang bersama skuad Sang Badak, termasuk ketika membantu pasukan itu beraksi dalam Piala AFC 2023.
Jadi, sekiranya Selangor FC dapat membawa masuk Ramon pada jendela perpindahan ini, mereka pasti tidak perlu runsing dalam mencari sumber gol dalam pasukan, baik di peringkat domestik mahupun ACL Two.
3. Sony Norde
Dalam skuad Sang Penyu yang beraksi dalam Piala AFC 2023, hampir semua daripada mereka yang turun beraksi adalah berstatus pemain lokal yang cukup berkualiti.
Namun, ada juga dalam kalangan pemain mereka hadir dari luar negara, termasuk Sony Norde yang merupakan penyerang sayap berpengalaman dalam Liga Malaysia.
Sony (kanan) beraksi cemerlang buat skuad Sang Penyu sepanjang 2023. — Facebook/Terengganu FC
Meskipun sudah berusia, pemain Haiti itu masih boleh membuat perbezaan sekiranya diberi ruang melakukan gelecekan dan membuat hantaran lintang berkualiti.
Selain itu, bekas pemain Melaka United tersebut boleh mengambil sepakan percuma berbahaya seperti mana pernah ditampilkan bersama Terengganu FC dan kelab-kelab tempatan lain.
Sekiranya khidmatnya dibawa masuk pada hujung permainan, ia akan menjadi satu nilai tambah buat Selangor FC yang beraksi di pentas Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram