
Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
MEMINJAM perumpamaan ‘bijak dahulu bijak sekarang’, PDRM FC kini dilihat membayar harga yang mahal kerana tidak belajar daripada kesilapan lalu.
The Cops tewas lagi 1-3 kepada Sri Pahang FC di Stadium Selayang pada Sabtu – kali kedua berturut-turut selepas tunduk 1-2 kepada Kuala Lumpur City FC pada 26 Februari sebagai menyusuli kehilangan ketua jurulatihnya, P. Maniam, menjelang final peringkat kedua Piala Cabaran menentang Selangor FC pada 22 Februari.
Sehingga hari ini, skuad Sang Saka Biru itu masih mengunci mulut terhadap alasannya merehatkan Maniam yang dilihat dijadikan kambing hitam.
BACA LAGI: Tampil cemerlang ikat Sang Penyu, prestasi 3 wira tidak didendang raih pujian fans The Rhinos
BACA LAGI: Raih bekalan selesa ke atas Real Sociedad, Sevilla sindir Man United
Ini susulan keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghukum PDRM FC dengan dikira telah tewas dalam aksi final pertama Piala Cabaran pada 15 Februari dengan keputusan 3-0 selain didenda RM3,000.
PDRM FC didapati telah menurunkan pemain tidak berkelayakan -- pemain pertahanan, Safiee Ahmad, yang sepatutnya menjalani penggantungan satu perlawanan kerana telah mengutip dua kad kuning sebelum itu, dibawa masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua -- yang berkesudahan 3-2 di pihak Selangor FC.
The Cops tewas lagi 1-3 kepada Sri Pahang FC di Stadium Selayang pada Sabtu. — Facebook/PDRMFC
Meski ia bukan tanggungjawab ketua jurulatih untuk menyimpan rekod kad kuning pemain-pemainnya – tugas itu lazimnya dipikul penolong jurulatih atau seorang pegawai pentadbiran kelab yang diamanahkan – Maniam direhatkan serta-merta pada 21 Februari.
Tiada hebahan rasmi dibuat oleh PDRM FC melainkan perkongsian oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, menerusi akaun X miliknya bahawa Maniam tidak lagi bertindak sebagai ketua jurulatih dan tugasnya digalas oleh penolong ketua jurulatih, Eddy Gapil, hingga akhir musim 2024/2025.
Tindakan itu seperti mengulangi apa yang berlaku pada musim 2023 apabila ketua jurulatih, Azzmi Aziz -- yang percaturan taktikalnya menyaksikan PDRM FC melakar dua kemenangan mengejutkan, masing masing 1-0 ke atas Selangor FC pada 3 Jun dan Sabah FC pada 8 Jun 2023 – tiba-tiba direhatkan berkuat kuasa 19 Jun 2023.
Ketika itu, tiada pengumuman rasmi dibuat, tiada juga alasan diberi melainkan ia didakwa sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula pasukan – anehnya selepas mereka melonjak ke tangga kelapan liga dengan menang enam, satu seri dan tujuh kalah untuk menghimpun 19 mata daripada 14 perlawanan.
Bruno Suzuki mencetak gol sagu hati buat The Cops dalam aksi bertemu Tok Gajah. — Facebook/PDRMFC
Bola Pegun pada 26 Februari lalu turut mempersoalkan atas alasan apa Maniam direhatkan bagi tiada kesalahan yang dilakukannya atau mungkinkah dia telah dijadikan kambing hitam bagi menutup kesalahan orang lain?
Tentunya PDRM FC terhutang penjelasan kepada penyokong The Cops dan peminat bola sepaknya amnya. Apatah lagi sebagai skuad mewakili pasukan berpakaian seragam yang menjaga integriti, kelab itu tidak harus sama-sekali menjalankan urusan hariannya tanpa ketelusan.
Gara-gara tindakan penuh kesamaran itu, PDRM FC kini mungkin menanggung akibatnya. Bukan menghairankan jika penggantian jurulatih dilakukan secara mengejut, semangat pemain-pemain di bawah asuhannya boleh terencat dan fokus mereka juga boleh ke laut.
Apatah lagi, bagi musim 2024/2025 ini, Maniam mengemudi PDRM FC meraih lima kemenangan – 3-2 ke atas Perak FC (18 Mei - A), 2-1 ke atas Negeri Sembilan FC (11 Ogos - H), 2-1 ke atas Kuala Lumpur City FC (16 Ogos - H), 1-0 ke atas Sabah FC (21 Sept - H) dan 5-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC (18 Dis - H).
Harus paling diingati ialah kejayaan The Cops ‘menggari’ Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1 di Stadium Selayang pada 31 Julai lalu – satu-satunya pasukan yang dapat menafikan juara liga 11 musim berturut-turut itu daripada mengutip mata penuh.
Dalam pada itu, The Cops pernah juga melalui tempoh suram hampir dua bulan apabila seri empat perlawanan berturut-turut – 1-1 dengan Terengganu FC (4 Okt), 1-1 dengan Selangor FC (19 Okt), 1-1 dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC (25 Okt) dan 1-1 dengan Perak FC (2 Nov).
Penolong ketua jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil. — Facebook/PDRMFC
Dengan merehatkan Maniam sedemikian rupa, PDRM FC seperti tidak menghargai kerja kerasnya mengemudi pasukan ke tangga kelapan di samping membawa mereka ke final Piala Cabaran.
“Kita kena kaji balik, kita kena menganalisis permainan kita. Terlalu banyak kesilapan dilakukan, jadi kita kena perbaiki kelemahan pasukan kita,” kata Eddy selepas kekalahan kepada Sri Pahang FC itu di sebalik mereka mampu mengikat kedudukan 1-1 pada satu ketika menerusi jaringan sensasi Bruno Suzuki pada minit ke-52.
PDRM FC yang ketika ini menghimpun 21 mata, masih berbaki empat perlawanan lagi, dengan tiga baki jadualnya yang sudah disahkan ialah menentang Negeri Sembilan FC (16 Mac - H), Sabah FC (5 Apr - A) dan Terengganu FC (19 Apr - H).
Seperkara menarik untuk diperhatikan ialah tiga pasukan yang sedang menghambat mereka di tangga kesembilan hingga ke-11 – Penang FC, Sri Pahang FC dan KDA FC – masing-masing sudah menghimpun 20 mata dan hanya berjurang satu mata dengan The Cops.
Sebarang keciciran mata lagi dalam menuju penamat musim boleh menyaksikan PDRM FC melurut turun daripada tangga kelapan yang dicapainya musim lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram