Kelegaan Badrul Afzan selamatkan satu mata disahut keluhan Stano hilang dua mata


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Sabtu, 08 Mac 2025

Jaringan sepakan penjuru Safawi menyelamatkan maruah Terengganu daripada kekalahan. — Facebook/TFC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

KAMERA televisyen menunjukkan Badrul Afzan Razali menghela nafas panjang kelegaan seusai perlawanan dengan Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu pada Jumaat ketika rekod dalam empat perlawanan terakhirnya mencatatkan L-D-W-D.

Tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur City FC (14 Februari), disusuli seri 2-2 dengan Kuching City FC (21 Febuari) dan menang besar 5-1 ke attas Sri Pahang FC (27 Februari) di Temerloh, satu lagi kemenangan seharusnya merapatkan Terengganu FC dengan Sabah FC di tangga ketiga dengan perbezaan setipis hanya satu mata.

Tapi keputusan seri 2-2 dengan The Rhinos malam tadi bermakna kedua-dua pasukan masih terpisah empat mata dengan masing-masing berbaki tiga perlawanan. Tidak sekadar itu, Kuching City FC di tangga kelima cuma berjurang dua mata dengan berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

BACA LAGI: Jaringan 'corner' Puskas Safawi Rasid selamatkan maruah Terengganu di laman sendiri

BACA LAGI: [VIDEO] Senasib Nafuzi Zain, gugur air mata jantan Victor Andrag lepas tersungkur di Darul Aman

Congakan kasar akan memberi bayangan bahawa perebutan tangga ketiga liga di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC, kini masih menjadi perebutan terbuka di antara Sabah FC, Terengganu FC dan Kuching City FC, dengan skuad The Cats itu masih perlu berhadapan dengan Selangor FC dan JDT dalam dua perlawanan terakhirnya – kedua-duanya di tempat sendiri.

Namun, dari sudut mana pun ia dilihat, keadaan tidak akan dipermudahkan buat Terengganu FC yang akan berdepan dengan Selangor FC (5 April) dan PDRM FC (19 April) – kedua-duanya di tempat lawan – di samping satu lagi pertemuan dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Kuala Terengganu yang bagaimanapun belum ditetapkan tarikhnya.

Dalam perlawanan malam tadi, skuad Hitam Putih itu dikerah bangkit dua kali daripada ketinggalan kepada gol-gol Stuart Wilkin (m-20) dan Saddil Ramdani (m-44) untuk mengimbangi kedudukan menerusi jaringan Ismaheel Akinade (m-24) dan Safawi Rasid (m-84).

Untuk satu mata yang dapat diselamatkan itu, tuan rumah harus berterima kasih kepada kapten, Safawi, yang melencongkan sepakan sudutnya dari sebelah kiri pintu gol lawan terus menerjah masuk melepasi Jafri Firdaus Chew dan penjaga gol, Damien Lim.

“Walaupun hanya raih satu mata, kita kena akur yang kita kekurangan pemain di bahagian pertahanan (akibat kecederaan dan penggantungan kad kuning), menyebabkan kita membuat pertukaran pemain pada saat-saat akhir.

“Apa pun pemain-pemain telah pun memberikan yang terbaik pada malam ini dan tahniah kepada pemain-pemain sekali lagi,” kata ketua jurulatih interim Terengganu FC, Badrul Afzan, selepas perlawanan.

Malah, sebelum perlawanan berkenaan lagi, jurulatih itu mengakui akan kesukaran yang terpaksa mereka tempuhi untuk berdepan dua pasukan di atas mereka – Sabah FC dan Selangor FC – dalam menuju penutup liga sambil mengharapkan kesudahan dalam kelompok empat teratas sekurang-kurangnya.

“Satu mata dengan Sabah (tapi) kita tahu Sabah adalah di atas kita. Jadi, kita akan fokus kepada tiga perlawanan terakhir selepas ini. Sudah tentu bukan tugas mudah untuk kita lawan Selangor dalam perlawanan berikut.

“Kita ada masa lebih kurang empat minggu. Sementara itu pemain-pemain yang cedera termasuk Akram Mahinan dan Azam Azmi Murad diharap sempat pulih. Mungkin kita ada masa untuk pemain-pemain ini bermain dengan Selangor nanti, Insya-Allah,” tambahnya.

Andai Badrul Afzan berasakan satu mata dapat diselamatkan, rakan sepasukannya di pihak Sabah FC, Martin Stano, pula mengeluh kerana dua mata yang terlepas.

“Kami datang ke sini dengan matlamat mengutip mata dan mengukuhkan cengkaman kami terhadap tangga ketiga dalam carta liga.

“Kami memulakan permainan dengan sangat baik, pemain-pemain berganding dengan berkesan, mengenakan tekanan ke atas pasukan tuan rumah dan dihadiahkan dua gol dalam separuh masa pertama.

“Dalam separuh masa kedua, kami gagal memanfaatkan beberapa peluang yang ada. Satu mata ini sebenarnya amat mengecewakan tapi kami harus menerima seadanya.

“Kami ada tiga lagi perlawanan dan harus mengutip sebanyak mata yang boleh agar kami dapat mengekalkan tangga ketiga yang menjadi sasaran kami musim ini,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram