Tak salah pemain ceburi bidang perniagaan, bekas bek Harimau Malaya kongsi tips buka bisnes


  • Podium
  • Selasa, 11 Mac 2025

Akmal Zahir, Fayadh Zulkifli serta Gopi Rizqi merupakan antara yang memulakan perniagaan kecil-kecilan sempena sambutan Ramadan.

KEGAWATAN ekonomi ketika ini menyaksikan ramai pemain bola sepak, sama ada yang masih aktif atau sebaliknya untuk membuka perniagaan secara kecil-kecilan.

Usaha itu turut dibuat bersempena sambutan Ramadan dengan ada daripada mereka memilih untuk membuka gerai menyediakan aneka juadah berbuka  yang menerima sambutan hangat.

Sesetengah penyokong beranggapan usaha sedemikian wajar diraikan kerana ia membuktikan kesungguhan pemain dalam menampung perbelanjaan diri dan keluarga, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mengalami masalah tunggakan gaji.

BACA LAGI: Paulo Josue layak digelar legenda, tapi saya tetap pilih Fandi Ahmad — See Kim Seng

BACA LAGI: Tak perlu 100 tahun pecah rekod andai JDT catat hatrik Piala FA — Kim Seng

Wan Zack memilih untuk mencuba diri dalam dunia perniagaan sempena sambutan Ramadan.

Namun, ada pula melihat perniagaan sedemikian akan mengganggu rentak pemain di atas padang kerana terpaksa melupakan waktu latihan demi menguruskan perniagaan yang sepatutnya menjadi lubuk pendapatan kedua.

Mereka juga beranggapan seorang pemain bola sepak berstatus profesional tidak sepatutnya terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan atas sebab risiko terhadap imej masing-masing.

Bagaimanapun, bagi bekas pemain kebangsaan, See Kim Seng, keputusan menceburkan diri ke dalam bidang tersebut bukanlah hal negatif kerana status sebagai pemain dapat membantu merancakkan lagi pendapatan.

"Sebagai contoh, sekiranya pemain buka restoran, orang akan tahu berdasarkan statusnya itu dan memilih untuk beri sokongan. Tetapi, mereka perlu pandai menjaga diri dan imej.

"Tidak boleh dinafikan fokus mungkin terganggu, jadi anda terpaksa bergantung kepada seseorang diharapkan dan perlu tanya diri, adakah dia boleh memberikan 100 peratus untuk anda? Seeloknya, tidak perlu terlalu ramai dengan dua orang sudah mencukupi," katanya kepada Majoriti.

Kim Seng (kiri) membuka restoran selepas bertahun-tahun bergelar pemain bola sepak.

Kim Seng merupakan antara individu terbaik untuk mengulas berhubung perkara itu kerana dia juga menceburi bidang perniagaan selepas tidak lagi aktif di atas padang.

Bekas pemain pertahanan Kuala Lumpur FA (KLFA) tersebut membuka restoran di Banting, Selangor dengan perniagaan kecil-kecilan itu berjaya meraih sambutan hangat kebelakangan ini.

Kemeriahan berkenaan dirasakan selepas orang ramai mengunjunginya, termasuk peminat bola sepak tanah air yang berkongsi bahawa kedai makan itu dimiliki bekas pemain negara.

Dalam pada itu, Kim Seng sempat berkongsi beberapa tips bagi pemain yang mahu membuka perniagaan masing-masing supaya tidak berakhir dengan kerugian terhadap diri sendiri.

Kim Seng (bulatan) pernah menjulang pelbagai kejuaraan sepanjang beraksi buat KLFA.

"Nasihat saya, mula dengan kecil-kecilan dahulu kerana jika tiada pengalaman, susah untuk diuruskan. Jangan pandang bagi tempoh masa pendek sahaja, tengok juga bagi masa panjang.

"Jika tidak, dapatkan rakan bisnes yang berpengalaman sebelum membuat pelaburan. Kalau tak, duit hasil titik peluh disimpan selama ini akan hilang begitu sahaja," katanya.

Meskipun kini lebih dikenali sebagai pengusaha restoran, Kim Seng pernah diangkat sebagai antara pertahanan terbaik negara kerana pernah meraih pelbagai gelaran ketika beraksi di atas padang.

Ini termasuk empat trofi Piala Malaysia yang dicapai menerusi kemenangan hatrik bersama KLFA bermula 1987 dan satu kejayaan bersama Selangor pada 1984. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram