[VIDEO] 'Milos dan Assifuah masih ada', Victor Andrag terpaksa panggil semula 8 pemain muda hadapi KL City


  • Podium
  • Jumaat, 07 Mac 2025

Sang Kenari pastinya berdepan kesukaran untuk meraih kemenangan di laman sendiri dengan hanya dibarisi pemain muda. — Facebook/KDAFC

MENJELANG perlawanan penting Liga Super 2024 bertemu Kuala Lumpur City FC di laman sendiri pada Jumaat, pengendali Kedah Darul Aman FC, Victor Andrag memanggil lapan pemain Bawah 23 Tahun (B-23) untuk menyertai sesi latihan bersama skuad utama.

Perlawanan yang dijangka sengit itu amat penting kerana ia akan memberi impak besar kepada kedudukan kedua-dua pasukan dalam carta Liga Super.

Menerusi satu hantaran yang dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Fadhirul Shuhaimi di laman X, seolah-olah memberi gambaran bahawa skuad Sang Kenari berdepan dengan kekurangan pemain menjelang perlawanan penting menentang The City Boys.

BACA LAGI: Tak tercalon TOTW ke-8, JDT tetap boleh berbangga 'selevel' jaguh Jepun

BACA LAGI: Wan Zack, bekas bintang Selangor dan JDT antara pemain bantu isteri berniaga sempena Ramadan

Dalam hantaran itu, Fadhirul memberi gambaran bahawa beberapa pemain senior dipercayai enggan menyertai sesi latihan, menyebabkan pengendalinya terpaksa memanggil lapan pemain muda untuk menyertai skuad utama

"Victor Andrag memanggil lapan pemain B-23 untuk menyertai sesi latihan skuad utama menjelang aksi Liga Super bertemu KL City di Darul Aman pada Jumaat.

"Milos Gordic dan Ebenezer Assifuah masih ada bersama pasukan," katanya.

Apa yang mencuri perhatian adalah kelibat dua pemain import, Milos Gordic dan Ebenezer Assifuah yang masih setia bersama pasukan meskipun dikaitkan dengan isu tunggakan gaji.

Kedua-dua pemain import tersebut dilihat tetap komited dengan pasukan walaupun baru-baru ini pemilik kelab, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengesahkan bahawa Kedah berdepan tunggakan gaji hampir 10 bulan.  

Kehadiran Gordic dan Assifuah yang merupakan tonggak utama pasukan memberi keyakinan kepada penyokong untuk melihat aksi terbaik daripada mereka dalam perlawanan yang penuh tekanan ini. 

Sementara itu, dengan penyertaan lapan pemain muda, Andrag pastinya berharap agar skuad muda tersebut dapat memberi nafas baharu kepada pasukan dan meningkatkan daya saing Kedah dalam misi meraih kemenangan di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram