
BERSEMPENA sambutan Ramadan, ramai pihak mengambil peluang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di bazar Ramadan atau mana-mana lokasi sesuai demi menampung perbelanjaan keluarga.
Pemain bola sepak, sama ada yang masih aktif ataupun sudah menggantung but juga tidak terkecuali mengambil langkah sedemikian meskipun terpaksa terlepas sesi latihan pasukan.
Bekas bintang Pahang, Gopi Rizqi serta tonggak Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Noor merupakan antara yang aktif membuka gerai jualan masing-masing dengan usaha mereka menerima pujian ramai.
BACA LAGI: Presiden Perlis FA seru peminat terus sokong Harimau Malaya, kepimpinan Hamidin
BACA LAGI: Ada RM25 juta ke Liga Super, tapi ada yang persoal sumber penaja Perlis United
Gopi Rizqi menjalankan perniagaan kecil-kecilan demi mencari pendapatan tambahan.
Tetapi, mungkin ramai tidak tahu bahawa bekas kapten Perlis FA, Es Lizuan Zahid Amir turut menjalankan perniagaan bersempana sambutan Ramadan untuk menambah sumber pendapatan.
Hal tersebut dikongsikan di laman media sosial HarimauMalaya memaparkan pemain pertahanan berkenaan menawarkan beberapa jenis juadah yang pastinya menarik perhatian ramai.
"Bekas kapten pasukan Perlis, Es Lizuan Zahid berniaga char kuetiau dan Roti Tiki Taka! Sedap betul nampak kuetiau dia ni! Lokasi berhadapan Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra," tulisnya.
Melihat kepada foto disertakan dalam hantaran itu, dia yang kini berusia 31 tahun sudah menjalankan perniagaan tersebut sejak 2015 dengan penduduk di negeri Utara tanah air tersebut pasti mengetahuinya.
Es Lizuan (kiri) ketika beraksi buat Sime Darby FC menentang Kelantan FA.
Malah, peminat bola sepak di Perlis pasti tidak akan melepaskan peluang untuk membeli pilihan makanan dijual dalam usaha menyokong pemain yang pernah beraksi sebanyak dua kali buat skuad Singa Utara.
Sepanjang tempoh dihabiskan buat kelab tersebut, Es Lizuan pernah membawa kegemilangan buat pasukan berkenaan dengan menjulang Piala Malaysia 2004 serta Piala Sumbangsih tiga tahun kemudian.
Selain beraksi buat Perlis, pemain kelahiran Setiawan, Perak itu juga mewakili beberapa kelab lain sepanjang kariernya termasuk Sime Darby FC dan PKNS FC.
Meskipun bukanlah nama besar dalam arena bola sepak tempatan, dia masih memiliki zaman permainan yang gemilang, termasuk dinobatkan pemain terbaik dalam perlawanan akhir Piala FA 2012. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram