Tak perlu 100 tahun pecah rekod andai JDT catat hatrik Piala FA — Kim Seng


  • Podium
  • Isnin, 08 Jul 2024

Skuad Harimau Selatan sudah menjulang dua gelaran Piala FA berturut-turut setelah memenanginya pada 2022 dan 2023. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) berada dalam landasan terbaik untuk mempertahankan gelaran Piala FA untuk tahun ketiga berturut-turut memandangkan mereka kini sudah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Kemenangan besar ke atas Malaysia Universiti (MUFT) di pusingan suku akhir menyaksikan mereka sebagai pasukan pilihan bagi edisi kali ini.

Meskipun akan berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas ini, kualiti dimiliki skuad Harimau Selatan sudah jauh meninggalkan pencabar yang lain.

BACA LAGI: Kerjasama pelbagai pihak wajar elak isu gaji KL City terus berulang — Legenda KL

BACA LAGI: Legenda Harimau Malaya anggap desakan main liga luar tak efisien buat Selangor

1936902 (1)

Empat pasukan masih berentap untuk merebut kejuaraan Piala FA 2024.

Malah, JDT sudah tentu memiliki motivasi tersendiri dalam saingan Piala FA musim ini memandangkan mereka akan menjadi kelab pertama memenanginya buat tahun ketiga berturut-turut atau lebih dikenali sebagai kejuaraan hatrik.

Pencapaian demikian pasti diharapkan pihak pengurusan kelab memandangkan kejayaan berkenaan sukar diulangi mana-mana pasukan tempatan pada masa akan datang.

Tidak cukup dengan itu, ada yang beranggapan rekod JDT itu mustahil untuk dipecahkan dalam masa 100 tahun akan datang kerana kemegahan mereka sukar ditandingi ketika ini.

Bagaimanapun, bagi legenda bola sepak negara, See Kim Seng, perbandingan itu adalah sedikit keterlaluan kerana setiap kelab masih berpeluang mengulanginya.

Namun, menurutnya, semua pihak masih perlu mengakui kejayaan skuad Harimau Selatan tersebut cukup mengagumkan kerana ia merupakan hasil daripada titik peluh dicurahkan pihak pengurusan bertahun-tahun lamanya.

1964983_275520445957069_182900964_n

KLFA pernah mencatatkan hatrik Piala Malaysia dari 1986 sehingga 1988.

"Saya berasakan bukanlah sesuatu yang mudah untuk memenanginya untuk tiga tahun berturut-turut kecuali anda memiliki sebuah pasukan bagus seperti JDT.

"Untuk anggapan 100 tahun itu, kita pun tidak tahu bagaimana hari esok, jadi tidak perlu sehingga tempoh sedemikian kerana pasukan lain seperti Selangor yang mempunyai kewangan kukuh akan mencipta pasukan lebih baik," katanya kepada Majoriti.

Kim Seng yang merupakan bekas pertahanan Kuala Lumpur (KL) FA sudah tentu memiliki pengalaman meraih kejayaan hatrik, iaitu ketika mereka menjulang Piala Malaysia sebanyak tiga kali bermula 1986.

Pencapaian itu sudah tentu amat membanggakan kerana sehingga hari ini, hanya Selangor dan Singapura pernah meraih rekod sedemikian.

Bagaimanapun, dalam saingan Piala FA pula, pencapaian terbaik adalah dua kejuaraan berturut dengan KL FA dan Sabah FA merupakan pasukan meraihnya.

Jadi, sekiranya JDT memenanginya tahun ini, mereka akan sekali gus memecahkan rekod yang bertahan untuk 30 tahun tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram