[VIDEO] Hajat berbuka di masjid tak kesampaian, bapa maut, anak kritikal dirempuh kereta


  • Tular
  • Sabtu, 08 Mac 2025

Tangkap layar video memaparkan motosikal dinaiki Rahimi (kanan) dan anaknya (kiri) dirempuh sebuah kereta dari belakang.

SEORANG lelaki maut selepas motosikal dinaikinya bersama anak lelakinya dirempuh sebuah kereta di Jalan Dato Kayaman, Perlis pada petang Jumaat.

Dalam kejadian pukul 7.45 malam itu, Rahimi Mat Rejab, 49, dan anaknya, Umar Haziq, 16, dipercayai dalam perjalanan ke sebuah masjid di kawasan Padang Lati, Beseri untuk berbuka puasa.

Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superitendan Sarih Salleh berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta Honda Civic dipandu lelaki berusia 33 tahun merempuh motosikal mangsa dari arah belakang.

BACA LAGI: [VIDEO] Cahaya merah menyala cetus persoalan penduduk Pulau Pinang

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kami terpaksa peluk tiang', mangsa puting beliung di Sekinchan cerita detik rumah hampir terbang dilanda badai

 

 

 

 

Beliau berkata, siasatan juga mendapati, kereta Honda Civic itu dipercayai dipandu dalam kelajuan tinggi sebelum hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang motosikal mangsa.

Menurutnya, akibat rempuhan kuat itu, motosikal mangsa terbabas lalu melanggar tiang lampu jalan, manakala kereta terbabit pula terbabas melanggar tembok longkang di arah bertentangan.

Beliau berkata, Rahimi meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Umar dan pemandu kereta cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis.

Mayat Rahimi dihantar ke Jabatan Forensik HTF untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau pada masa sama menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muzammil Zamree di talian 016-8459442.

Sementara itu, Rahimi juga dikatakan merupakan bekas jurulatih payung terjun berpangkat Komando RGK 22 yang baru menamatkan perkhidmatan beberapa tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram