Peniaga bazar Ramadan Ayer Baloi dakwa diugut, hairan jualan mercun dibenarkan


  • Massa
  • Isnin, 10 Mac 2025

Maziah Abdullah Maziah Awie meluahkan rasa tidak puas hati apabila mendapati ada pihak yang menjual mercun di Bazar Ramadan Ayer Baloi, Johor

SEORANG peniaga makanan, Maziah Abdullah Maziah Awie meluahkan rasa tidak puas hati apabila mendapati ada pihak yang menjual mercun di Bazar Ramadan Ayer Baloi, Johor sedangkan tapak bazar tersebut sepatutnya dikhaskan untuk penjual makanan juadah berbuka puasa. 

Pendedahannya menerusi laman Facebook peribadi menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen sejak dimuat naik pada Ahad. 

Maziah berkata, peniaga makanan perlu melalui pelbagai prosedur ketat sebelum dibenarkan berniaga di bazar.

BACA LAGI: [VIDEO] Rakyat Malaysia kongsi kesedihan rakan baik gugur dalam serangan bom, tembakan di Sungai Golok

BACA LAGI: [VIDEO] Tetak pekerja kedai nasi kandar sampai mati, polis cari 4 suspek di Tasek Gelugor

Mereka perlu mengambil borang, membayar tapak, menghadiri sesi undian tapak serta ceramah bersama pegawai dari pelbagai jabatan.

Selain itu, peniaga makanan juga diwajibkan menghadiri kursus pengendalian makanan dan mendapatkan suntikan thypoid.

Namun, beliau hairan bagaimana peniaga mercun boleh beroperasi tanpa sebarang larangan daripada pihak berkuasa tempatan.

“Bazar Ayer Baloi bermula dengan 80 peniaga makanan. tup tup.. Ada pulak menyelit peniaga mercun. Makanan ke apa mercun ni?” tulis Maziah.

Beliau turut mendakwa bahawa penjual mercun tersebut mendapat lesen daripada seorang pegawai majlis, yang berasal dari Pontian Besar.

Hal itu menimbulkan persoalan mengenai ketelusan pihak berkuasa dalam menguruskan tapak bazar.

Hantaran Maziah itu juga mendapat perhatian ramai termasuk beberapa pengguna Facebook yang turut mempertikaikan tindakan pihak berkuasa tempatan.

Pengguna Facebook, Blackz Neo berpendapat bahawa peniaga makanan sudah mengikut semua prosedur yang ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Pontian (MPP), namun masih berlaku ketidakadilan dalam pengurusan tapak bazar.

“Betul sis. Peniaga dah ikut prosedur Majlis Perbandaran Pontian. Jadi mana pulak integriti staf-staf dorang?” katanya.

Mohd Norhisham Sulaiman pula mendakwa bahawa penjualan mercun itu mungkin mendapat perlindungan daripada pihak tertentu.

“Jalan kan kerja. Biasa geng-geng jual mercun ni ada laa abang besar dia cover,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna, Nash Villa menambah bahawa isu itu bukan perkara baru dan menunjukkan wujudnya unsur penyelewengan dalam pengurusan majlis tersebut.

Selepas membuat pendedahan tersebut, Maziah mendakwa dirinya menerima ugutan dan panggilan tidak henti-henti daripada individu tidak dikenali yang meminta agar hantaran itu dipadam. Situasi ini menyebabkan beliau berasa cemas dan tidak selamat.

“Saya teruja muat naik isu itu untuk kebenaran. Tapak bazar untuk makanan. Tetapi bila muat naik, saya jadi cemas pula.

"Saya diugut dan call tidak berhenti dari orang-orang yang tidak saya kenali. Ada yang boleh jaga saya ke,” luahnya dalam satu lagi hantaran.

Susulan pendedahan itu, orang ramai kini mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas bagi memastikan hanya peniaga yang mengikut peraturan dibenarkan beroperasi di bazar Ramadan. 

Mereka turut menyeru agar isu penjualan mercun dalam bazar makanan disiasat dan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang cuai atau bersekongkol dalam perkara itu.

Setakat berita ini ditulis, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak Majlis Perbandaran Pontian berhubung dakwaan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram