Ada RM25 juta ke Liga Super, tapi ada yang persoal sumber penaja Perlis United


  • Podium
  • Khamis, 07 Mac 2024

Skuad Singa Utara menamatkan saingan Liga M3 musim lalu di tangga kelapan. — Facebook/Perlis United

PENGUMUMAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengenai keputusan memberikan lesen bersyarat kepada Perlis United untuk beraksi dalam Liga Super musim depan menerima respons orang ramai.

Kelab yang dibenarkan bertanding bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Kelantan FC itu pernah mewarnai arena bola sepak tanah air pada awal 2000-an.

Selain menjuarai Piala Malaysia pada 2004 dan 2006, skuad Singa Utara tersebut pernah dibarisi pemain berkualiti seperti Azizi Mat Rose dan import dari Thailand, Adrien Jurad Chamrong.

Jadi, tidak hairanlah apabila orang ramai mengalu-alukan kehadiran Perlis United ke kancah Liga Super 2024/25 selepas beraksi dalam Liga M3 musim lalu.

Bagaimanapun, persoalan mula timbul mengenai kemampuan kelab Utara tanah air berkenaan untuk beroperasi tanpa mengalami sebarang isu kewangan.

BACA LAGI: Kalah kepada Kuching City satu rahmat buat Perlis United

3358705769_91d2808af6

Perlis FA menjuarai Piala Malaysia 2006 setelah menewaskan Negeri Sembilan Naza.

Menurut kenyataan dikeluarkan MFL, pasukan terbabit diberikan peluang beraksi dalam divisyen teratas tanah air kerana memiliki dokumen kewangan lebih dipercayai.

"Berdasarkan semakan dan penilaian teliti terhadap setiap permohonan yang dikemukakan, Perlis United memiliki dokumen lebih kukuh dengan salinan surat penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat potensi penaja.

"Mereka ialah Mudim Zakaria Food Industries Sdn Bhd, Ivory Properties Group Berhad, M.A Intelligent Holdings Sdn Bhd dan Al Razi Holding (M) Sdn Bhd," tulis MFL.

Pengumuman berkenaan menimbulkan keraguan setelah pengguna aplikasi X, Che Wan mendapati syarikat dalam senarai itu sedikit meragukan.

BACA LAGI: Ubi muda Kelantan merantau kutip pengalaman di Perlis United

429672376_425703003185022_7266379729540210717_n

Perlis United berpeluang diberikan lesen bersyarat untuk beraksi dalam Liga Super 2024/25. Facebook/MFL

"Biar benar Perlis United FC ini boleh terima penajaan syarikat yang sudah berada dalam senarai PN17? Dua syarikat lain tu laman web sendiri pun tiada.

"Salinan surat penajaan dan salinan cek ini apa benda yang kukuhnya? Bukti pun hanya melalui penyata akaun bank," katanya.

PN17 atau Practice Note 17/2005 merupakan peraturan ketat dikenakan Bursa Malaysia terhadap syarikat bermasalah daripada segi kewangan serta berisiko tinggi untuk terkeluar daripada papan Bursa Malaysia.

Pada 2022, Ivory Properties Group diletakkan dalam senarai tersebut setelah laporan audit menunjukkan syarikat itu menanggung kerugian tahunan besar.

Sekiranya dibenarkan beraksi dalam Liga Super, terdapat kegusaran Perlis United akan menjadi mangsa terbaharu isu tunggakan gaji yang membebani hampir separuh pasukan musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram