[VIDEO] Bermula dari semangkuk bubur, bekas guru berbangsa Cina jadi sukarelawan masjid setiap kali Ramadan


  • Benua
  • Ahad, 09 Mac 2025

Wanita berbangsa Cina, Suzanna gemar melakukan kerja amal sewaktu bulan Ramadan.

SETIAP kali menjelang Ramadan, suasana Masjid Al-Istighfar, Pasir Ris, Singapura tidak hanya dihiasi dengan semangat sukarelawan Muslim yang membantu persiapan berbuka puasa, tetapi turut diserikan dengan kehadiran seorang wanita berbangsa Cina yang komited dalam kerja amalnya.

Bekas guru, Suzanna Cheong sudah terlibat aktif sebagai sukarelawan di masjid itu sejak lapan tahun lalu. 

Keikhlasan wanita berusia 67 tahun itu membantu dalam penyediaan juadah dan membimbing sukarelawan muda menjadikannya figura yang dihormati bagi sesiapa yang dekat dengan masjid berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tetak pekerja kedai nasi kandar sampai mati, polis cari 4 suspek di Tasek Gelugor

BACA LAGI: Sempat beritahu nenek nak datang bawa makan malam, cucu maut, seorang lagi parah motosikal dirempuh kereta di Seremban

“Saya menghidangkan kuih di sini dan menjaga sukarelawan belia seperti seorang guru. Memberikan tugasan adalah perkara biasa bagi saya kerana saya pernah menjadi guru sebelum ini,” kata Suzanna.

Perjalanan Suzanna dalam dunia kesukarelawanan di masjid bermula secara tidak terduga.

Lapan tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan menghampirinya di stesen MRT Pasir Ris dengan semangkuk bubur. 

Keikhlasan kanak-kanak itu menyentuh hatinya dan mendorongnya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai asal usulnya. 

Pada keesokan hari, Suzanna berkunjung ke Masjid Al-Istighfar dan dia disambut dengan hati yang terbuka oleh jemaah masjid.

“Walaupun saya satu-satunya individu berbangsa Cina di situ, mereka menerima saya dengan baik. 

"Saya sudah bersara dan mempunyai banyak tenaga, jadi ini adalah cara saya menggunakannya dengan bermakna,” katanya.

Sepanjang bulan Ramadan, Suzanna bersama sukarelawan lain membantu dalam pelbagai tugas termasuk mengagihkan makanan kepada jemaah yang berbuka puasa. 

Kagum dengan kecekalan sukarelawan Muslim yang tetap bertugas meskipun berpuasa sepanjang hari, dia berasa terharu dengan kemesraan yang diberikan kepadanya.

“Mereka tidak pernah membezakan saya. Tiada siapa pun berkata, ‘Awak orang Cina, jauhi saya.’ Sebaliknya, mereka menyambut saya dengan mesra dan mengucapkan selamat tinggal apabila saya pulang. 

"Saya benar-benar rasa seperti di rumah sendiri di sini,” ujar Suzanna. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram