
TERENGGANU FC pasti mahu meneruskan rentak cemerlang setelah baru-baru ini mencatatkan kemenangan besar 5-1 ke atas Sri Pahang FC untuk mengukuhkan lagi kedudukan dalam carta Liga Super.
Keputusan memberangsangkan yang diraih di Stadium MP Temerloh, Pahang itu turut menyaksikan skuad Sang Penyu berpeluang menamatkan kempen kali ini dalam kelompok tiga pasukan teratas.
Meskipun kedudukan itu tidak menjanjikan aksi di pentas Asia musim depan, ia sedikit sebanyak dapat mengubati hati penyokong yang meletakkan harapan besar untuk menamatkan penantian menjulang trofi.
BACA LAGI: Badrul Afzan: Lawan Kuching City titik peralihan untuk Terengganu FC bangkit
BACA LAGI: Badrul Afzan akui sasaran top 4 semakin menekan TFC ketika berbaki 5 aksi lagi
Skuad Sang Penyu akan menerima kunjungan Sabah FC di laman sendiri pada Jumaat. — Facebook/Terengganu FC
Bagaimanapun, hasrat Terengganu FC itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk direalisasikan kerana mereka akan berdepan pasukan di tangga ketiga, Sabah FC dalam pertembungan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Jumaat.
Mereka yang hanya mengalami satu kekalahan dalam lima perlawanan terakhir Liga Super merupakan pasukan wajar dihormati melihat kepada kualiti pemain serta gerak permainan diterapkan.
Jadi, skuad Sang Penyu pasti akan lebih berhati-hati ketika berdepan kelab Borneo tanah air berkenaan dengan pendekatan berbeza sudah tentu akan diambil pengendalinya, Badrul Afzan Razali.
Antara kelainan boleh ditampilkan adalah dengan meletakkan kepercayaan penuh terhadap tiga pemain tempatan yang boleh menggantikan bintang import dalam kesebelasan utama.
1. Syahmi Zamri
Ketika ini, tanggungjawab sebagai penyerang utama skuad Sang Penyu dipikul pemain import, Ismaheel Akinade atau Nelson Bonilla sementara barisan kejurulatihan pasukan menunggu kepulangan Ivan Mamut.
Bagaimanapun, impak daripada kedua-dua pemain itu adalah sangat tidak konsisten dengan Bonilla kerap mensia-siakan peluang sementara Ismaheel kadang kala kerap melupakan peranannya di atas padang.
Syahmi (kanan) perlu diberi peluang berada dalam kesebelasan utama. — Facebook/Terengganu FC
Jadi, dalam usaha meraih lebih banyak gol ketika berdepan Sabah FC, tiba masanya buat Badrul Afzan memberi kepercayaan kepada penyerang tempatan, Syahmi Zamri.
Dia yang sudah beraksi sebanyak 14 kali dalam semua pertandingan domestik setakat ini perlu diberikan peluang diletakkan dalam kesebelasan utama berbanding hanya dibawa masuk pada penghujung permainan.
Sekiranya diberikan minit mencukupi, dia sudah tentu dapat mencetak jaringan pertama dalam skuad senior musim ini atau sekurang-kurangnya dapat mengucar-ngacirkan barisan pertahanan pasukan pelawat.
2. Engku Nur Shakir
Dalam kalangan skuad Sang Penyu ketika ini, Engku Nur Shakir merupakan salah seorang pemain yang sesuai dilabel serba boleh kerana mampu beraksi dalam beberapa posisi.
Ini termasuk kebolehan beraksi sebagai pemain tengah menyerang dengan peranan itu kini dipikul import dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov yang merupakan tonggak utama pasukan.
Engku Nur Shakir (kiri) boleh beraksi sebagai pemain tengah menyerang buat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Jadi, Sabah FC pasti akan cuba mengekang perancang utama Terengganu FC tersebut dalam usaha mengurangkan impaknya terhadap permainan dengan cuba mengganggu setiap pergerakannya.
Sekiranya skuad Sang Penyu tidak mahu tempang dalam barisan tengah, mereka perlu cuba memberikan peluang buat Engku Nur Shakir memulakan perlawanan untuk melihat sama ada pihak lawan dapat mengganggu rentak.
Bagaimanapun, kualiti dimiliki Nurillo dalam merencanakan gerakan atau melakukan percubaan dari luar kotak pasti akan membuatkan Badrul Afzan berfikir-fikir untuk menepikannya daripada kesebelasan utama.
3. Nik Sharif Haseefy
Melihat kepada pilihan pemain Terengganu FC ketika ini, tidak ramai pemain yang boleh mengisi kekosongan sekiranya pemain tengah, Manuel Ott tidak berada dalam kesebelasan utama.
Pemain kebangsaan Filipina itu adalah nadi utama pasukan kerana dia diberi kepercayaan mengawal tempo pasukan selain beberapa kali ditugaskan menjadi kapten skuad Sang Penyu.
Nik Sharif pasti terbuka untuk cuba beraksi dalam posisi berbeza buat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Namun, sekiranya Badrul Afzan mahu melakukan kelainan, dia boleh cuba untuk memasukkan penyerang sayap, Nik Sharif Haseefy untuk beraksi sebagai pemain tengah.
Dia yang semakin dilupakan dalam skuad Sang Penyu itu wajar kembali diletakkan dalam pasukan kerana kebolehannya ketika mengawal bola mampu memberi masalah buat benteng Sabah FC.
Meskipun pendekatan sedemikian tidak pernah dilakukan sebelum ini, pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu pasti terbuka untuk memikul peranan tersebut dalam usahanya kembali ke dalam kesebelasan utama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram