
Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
DALAM congakan Badrul Afzan Razali, Terengganu FC (TFC) kendaliannya mungkin memerlukan sekurang-kurangnya 40 mata untuk kekal dalam kelompok empat teratas liga. Dengan berbaki hanya lima perlawanan lagi sebelum musim melabuhkan tirai, sasaran itu harus terasa menyesakkan dada.
Dengan dua daripada lawan yang bakal dihadapi berada di atas mereka – Sabah FC (7 Mac - H) dan Selangor FC (5 April - A) – sebarang ruang untuk skuad Hitam Putih itu keciciran mata lagi perlu dikurangkan ke paras paling minimum atau dielakkan sama sekali.
Congakan mudahnya ialah TFC – di tangga keempat dengan 28 mata ketika ini – akan menghimpun jumlah 43 mata jika memenangi kesemua lima baki perlawanannya dan itu harus mencukupi untuk memastikan kesudahan dalam top 4 atau dengan sedikit tuah boleh melonjak ke tangga ketiga.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Ada budak tengok game', sambutan gol lucah KL City dikritik penyokong
TFC dan Sabah FC di tangga ketiga ketika ini berjurang enam mata, dengan skuad Sang Badak itu turut mencicirkan mata dalam dua perlawanan terakhirnya – seri 2-2 dengan Sri Pahang FC dan 1-1 dengan Kuala Lumpur City FC – kedua-duanya di tempat sendiri di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Cuma, selain Sabah FC dan Selangor FC, lawan selebihnya buat TFC ialah Sri Pahang FC (27 Feb - A), PDRM FC (12 April - A) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Kuala Terengganu yang bagaimanapun belum ditetapkan tarikhnya oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Beruntungnya TFC ketika ini ialah mereka masih kekal dalam kelompok empat teratas hasil satu mata diraih ketika terikat 2-2 dengan Kuching City FC di halaman sendiri Jumaat lalu. Pasukan lawan itu bagaimanapun makin menghambat kerana bermain kurang satu perlawanan dengan hanya empat mata menjarakkan kedua-dua pasukan.
Namun, dengan berbaki hanya lima perlawanan untuk liga musim 2024/2025 ini dihabiskan, carta liga dijangka terus berubah hingga hari terakhir perlawanan yang dijangka pada 20 April nanti.
Badrul Afzan mengakui kehilangan dua mata kepada Kuching City pada Jumaat bukan sahaja memudarkan harapan TFC untuk menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas Liga Super, malah menggugat kedudukan mereka di tangga keempat pada masa ini.
“Kita tengok banyak sangat kelemahan (ketika berdepan Kuching City FC). Saya sangat kecewa kerana kita melepaskan dua gol dalam masa dua minit. Kita hilang fokus… hilang konsentrasi.
“Kita mengawal perlawanan di kedua-dua babak permainan. Tetapi kita terlalu selesa hingga melepaskan gol-gol mudah. Seperti perlawanan sebelumnya, kita mencipta banyak peluang tetapi gagal disebabkan ketumpulan penyudah,” katanya selepas perlawanan menentang The Cats.
Lebih mengecewakannya, perlawanan itu diharapkannya untuk menjadi titik peralihan buat TFC mengukuhkan cengkaman dalam carta liga – terutama selepas tewas 1-2 kepada KL City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 14 Februari lalu.
Berdepan Kuching City, TFC awalnya dilihat meniti laluan kemenangan apabila selesa mendahului dua gol selepas sejam permainan menerusi gol semangat Manuel Ott selepas hanya lapan minit dan disusuli jaringan Ismaheel Akinade pada minit ke-60.
Lawan bagaimanapun bangkit dengan dua gol dalam tempoh dua minit menerusi Jordan Mintah (m-64) dan Petrus Shitembi (m-65) yang diakui Badrul Afzan mengecewakannya kerana pemain-pemainnya mudah hilang fokus dalam saat-saat genting seperti itu hingga melakukan kesilapan mudah.
"Saya begitu kecewa dengan persembahan pemain, terutama pada babak kedua, selepas mereka melepaskan dua gol mudah dalam masa dua minit perlawanan.
"Hilang fokus serta pemain terlalu selesa ketika mendahului lawan adalah faktor utama TFC gagal meraih tiga mata penuh biarpun mendominasi permainan dengan banyak mencipta peluang. Malah, kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan terutama barisan pertahanan mengakibatkan pasukan dihukum," katanya.
Tidak sekadar itu, ada kebimbangan tambahan buat jurulatih itu menjelang kunjungan ke gelanggang Sri Pahang di Temerloh dalam perlawanan berikut pada Khamis ini.
Dengan barisan pertahanan hilang tiga pemain hingga penghujung musim – penjaga gol Suhaimi Husin, Alif Zakaria dan Argzim Redzovic – TFC memiliki cukup-cukup 21 pemain untuk melakukan penggiliran.
Selain itu, sekurang-kurangnya empat pemain sudah mengutip dua kad kuning yang bermakna penggantungan automatik satu perlawanan – seperti pemain tengah, Nurillo Tuktasinov, yang terlepas perlawanan dengan Kuching City FC – jika mereka mengutip satu lagi.
Penyerang dari Croatia, Ivan Mamut, yang baru kembali ke Kuala Terengganu pada 7 Januari lalu selepas berehat panjang hampir setahun disebabkan kecederaan tumit kirinya ketika menjalani latihan pramusim, masih belum boleh ditampilkan semula.
“Dia mengadu masih rasa sakit ketika melakukan latihan ringan. Kita tidak mahu terburu-buru menurunkannya kerana kita pun faham keadaannya.
“Dia cakap sendiri sasarannya ialah untuk kembali ketika lawan Sabah nanti (7 Mac), jadi kita tunggulah,” kata Badrul Afzan lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram