
ANUGERAH Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024/2025 kembali lagi memeriahkan arena bola sepak tanah air dengan kali ini Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mempertandingkan 17 kategori anugerah.
Kategori yang diperkenalkan semula pada musim ini ialah Penyokong Terbaik menyaksikan anugerah buat penyokong-penyokong terbaik pasukan yang memberi sokongan penuh tanpa berbelah bahagi menyokong pasukan kesayangan mereka dalam Liga Malaysia (Liga M) ini.
Dari kategori penjaga gol terbaik hungga ke penyokong terbaik, pencalonan awal yang dikeluarkan oleh badan induk tersebut menerima respons baik daripada penyokong bola sepak tanah air.
BACA LAGI: Faktor 'manja' Arif Aiman jadikan Faisal Halim lebih layak raih gelaran MVP ABK 2023
Perkara menarik kali ini apabila beberapa wajah yang pernah memeriahkan ABK sebelum ini akhirnya membuat kemunculan kembali setelah tampil dengan persembahan atas padang memukau dalam pertandingan dianjurkan MFL.
Salah satu faktor beberapa pemain akhirnya kembali tercalon dalam ABK kali ini ialah tonggak pinjaman yang berhasil memanfaatkan masanya bersama kelab semasa untuk mengembalikan potensi sebenar mereka.
Pengikut bola sepak domestik pasti mengetahui pasukan gergasi, Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi kelab yang sudi meminjamkan pemain mereka kepada pasukan lain. Ia secara tidak langsung membantu memberi minit permainan kepada pemainnya.
Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang tercalon dalam ABK 2024/2025 selepas berhasil memanfaatkan sebaik tempoh pinjamannya;
1) Danial Amier
Danial Amier menyertai Kuching pada awal musim lalu. — Facebook/KuchingCity
Pemain tengah Harimau Selatan, Danial Amier Norhisham akhirnya kembali menikmati bola sepak selepas dipinjamkan ke Kuching City FC selama semusim pada jendela perpindahan pertama musim 2024/25.
Danial Amier yang kali terakhir bermain untuk Liga Super bersama Harimau Selatan pada musim 2024/2025 menjadi tonggak penting membantu The Cats dalam semua pertandingan Liga M dengan dia merekodkan 16 penampilan, selain mencatat satu gol serta satu bantuan jaringan.
Berkat aksi memukaunya sebagai arkitek pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak, pemain berusia 28 tahun itu juga kembali menyarung jersi kebangsaan untuk Piala AFF 2024 selepas kali kali terakhir dipanggil pada 2019.
Kecekalan Danial Amier yang sanggup terbang ke kota Kuching itu bertambah berbaloi apabila namanya juga tercatat sebagai calon pemain tengah terbaik untuk ABK 2024/25 bersama sembilan calon lain.
Akhyar Rashid, Safawi Rasid (Terengganu FC), Amirul Hisyam (Kedah Darul Aman FC), Arif Aiman Hanapi (JDT), Fazrul Amir (Kelantan Darul Naim FC), Nooa Laine (Selangor FC), Stuart Wilkin (Sabah FC), Syamer Kutty (Penang FC) dan Wan Zack Haikal dari Perak FC antara calon dalam kategori itu.
2) Syamer Kutty Abba
Selepas dipinjamkan dari Harimau Selatan pada April 2024, Syamer Kutty kembali menyarung kelab negeri kelahirannya iaitu Penang FC. Sebelum ini, tonggak tengah itu juga bermula dengan pasukan Harimau Kumbang di awal kariernya sebagai pemain bola sepak.
Kepulangannya disambut baik oleh penyokong dan pengurusan pasukan, yang melihat pengalaman luasnya bersama JDT dan skuad kebangsaan sebagai aset berharga untuk memperkukuhkan bahagian tengah pasukan.
Membuktikan pengalamannya bersama JDT boleh diguna pakai dalam Harimau Kumbang, Syamer Kutty menjadi pemain penting dalam Penang FC dengan dia merekodkan 23 perlawanan domestik dan membuat dua bantuan jaringan.
Tidak hanya bermain di posisi kegemarannya sebagai pemain tengah bertahan, malah Syamer Kutty juga kadangkala ditugaskan untuk menjadi central midfielder dan attacking midfielder untuk Harimau Kumbang pada musim ini.
Selain itu, barisan kejurulatihan Penang FC juga memberi kepercayaan kepada pemain berusia 28 tahun tersebut untuk menjadi ketua pasukan Harimau Kumbang sepanjang tempohnya pinjamannya.
3) Haziq Nadzli
Pada Mac 2024, penjaga gol JDT, Haziq Nadzli dipinjamkan ke Perak FC untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan dan mengembalikan prestasinya. Dia juga menyatakan hasratnya untuk membantu Perak FC menghadapi musim baharu dengan lebih baik.
Sepanjang musim 2024, Haziq menunjukkan prestasi cemerlang bersama skuad The Bos Gaurus (TBG) mendapat pujian daripada penyokong dan penganalisis sukan termasuk Datuk Zainal Abidin Hassan.
Penjaga gol berusia 27 tahun itu juga akhirnya kembali memperkuatkan skuad kebangsaan selepas kira-kira enam tahun namanya ‘hilang’ dari senarai pemain untuk dipanggil oleh ketua jurulatih Harimau Malaya pada Piala AFF lalu.
Pada Februari 2025, terdapat khabar angin bahawa Haziq telah meninggalkan JDT lebih awal, mengikuti jejak Akhyar Rashid. Namun, status rasmi Haziq sama ada kekal bersama Perak FC atau berhijrah ke pasukan lain selepas tamat musim 2024 belum diumumkan secara rasmi.
Untuk rekod, Haziq dicalonkan bersama Azri Ghani (Kuala Lumpur City FC), Bryan See (PDRM FC), Damien Lim (Sabah FC), Kalamullah Al-Hafiz (Selangor FC), Shahril Sa'ari (Kuching City FC), Sikh Izhan (Penang FC), Syihan Hazmi (JDT), Wan Syazmin (Kedah Darul Aman FC) dan Zarif Irfan (Sri Pahang FC) untuk kategori Penjaga Gol Terbaik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram