Badrul Afzan: Lawan Kuching City titik peralihan untuk Terengganu FC bangkit


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Jumaat, 21 Feb 2025

Sebahagian sesi latihan Sang Penyu yang pastinya mahu meraih kemenangan di gelanggang sendiri bertemu Kuching City pada Jumaat. — Facebook/TFC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

USAH cuba nak bergebang dengan Badrul Afzan Razali mengenai kesusahan kerana ketua jurulatih interim Terengganu FC (TFC) itu sudah jenuh melaluinya.

Selain beraksi untuk Terengganu dari 1996-1999, bekas pemain tengah itu turut berkelana bersama beberapa pasukan -- Pahang, Kelantan, Perlis, Kedah, Johor FC dan Felda United.

Bermain tanpa ikatan kontrak rasmi dan pernah tidak dibayar gaji selama enam bulan oleh sebuah daripada pasukan terbabit, Badrul Afzan terpaksa menelan sahaja kepahitan berkenaan sebagai antara pengorbanannya untuk bola sepak yang menjadi periuk nasinya.

BACA LAGI: Bintang Portugal sedia jadi wira, bantu Sabah padam cabaran KL City

BACA LAGI: [VIDEO] 'Pilihan tepat', fans restu peledak Terengganu ke JDT

Harus kerana pengalaman itu, Badrul Afzan cukup pantang mendengar pemain hari ini merengek terhadap sekecil-kecil kesusahan, yang padanya perlu dilalui untuk memperkuatkan mental di samping meningkatkan lagi kesungguhan mereka mengharungi cabaran dan kepayahan.

Berbaki enam perlawanan lagi dalam liga musim 2024/25 ini, jurulatih berusia 48 tahun itu sudah sampai ke tahap yang dirasakan lebih sukar buat skuad Peteh kendaliannya.

Ketua Jurulatih Interim Terengganu FC, Badrul Afzan Razali. — Facebook/TFC

Tempoh dua minggu sejak kekalahan 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada 1 Februari hingga kekalahan terbaru 1-2 kepada Kuala Lumpur City FC di Kuala Terengganu pada 14 Februari lalu, dianggapnya merentap semangat pasukan.

Di antara kedua-dua perlawanan itu pula, TFC dikecewakan kelab Thailand, BG Pathum United, 3-4 pada 5 Februari dalam perebutan slot ke separuh akhir Kejohanan ASEAN merebut Piala Shopee, yang hanya terubat sedikit oleh kejayaan menundukkan Negeri Sembilan FC 2-0 di tempat lawan empat hari kemudian.

“Bermain empat perlawanan dalam tempoh 14 hari benar-benar memenatkan pemain, tambahan apabila perlu membuat perjalanan ke tempat lawan. Tetapi sebagai pemain bola sepak, mereka perlu membiasakan diri dengan keadaan ini,” kongsinya dengan Bola Pegun.

Padanya, di sebalik sesuatu kemenangan itu memotivasikan, kekalahan pula seboleh-bolehnya jangan dibenarkan meruntuhkan terus moral pasukan.

“Ketika bertemu BG Pathum, rasanya kita boleh bermain tetapi gol-gol mereka yang terlalu cepat (m-71, 76, 83 dan 87) terasa sangat menyukarkan. Bertemu KL pula, kita kalah kerana kesilapan sendiri. Peluang-peluang yang kita ada pula tidak digunakan,” tambahnya.

Sang Penyu pastinya mahu meraih tiga mata penuh aksi bertemu The Cats di laman sendiri. — Facebook/TFC

Gara-gara kehilangan tiga mata kepada skuad Warga Kota itulah, Badrul Afzan menjenamakan aksi liga malam ini dengan Kuching City FC (KCFC) – di tangga keenam dengan 23 mata, empat di belakang tuan rumah itu tapi memiliki satu perlawanan dalam tangan – sebagai “titik peralihan” penting buat pasukannya. 

Mungkin sedikit berkelebihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu, namun jurulatih itu tidak berasakan ia akan banyak mempermudah keadaan.

Penggantungan perancangan tengah, Nurillo Tukhtasinov, yang sudah mengutip tiga kad kuning di samping penyerang, Nelson Bonilla, yang cedera dalam latihan pada Rabu, sekadar menambah kerut di dahi  Badrul Afzan.

“Hampir dalam setiap perlawanan, kami ketiadaan sekurang-kurang seorang pemain utama. Bukan saja menyukarkan penggiliran pemain yang ada, setiap perlawanan juga memerlukan saya buat pengubahsuaian taktik mengikut senarai pemain yang dapat diturunkan.

“Bila tak ada core player tiap game, sudah tentu ini jejaskan rentak permainan dan momentum kami,” katanya.

Kelincahan Akhyar Rashid ditagih untuk membantu Sang Penyu meraih jaringan aksi bertemu Kuching City. — Facebook/TFC

Didorong untuk menghindarkan pasukan penghambat – selain KCFC ialah Perak FC, juga dengan 23 mata tapi telah bermain lebih satu perlawanan – Badrul Afzan mengakui pasukannya tidak mampu mencicirkan mata lagi.

Team-team yang tengah hambat makin rapat. Kita tiada pilihan. Walaupun miliki cukup-cukup 21 pemain untuk lakukan penggiliran bagi perlawanan ini, ditambah dua pemain dari skuad B-23, kita akan terus juga.

“Kita perlu kemenangan sebagai titik peralihan selepas kalah kepada KL tempoh hari. Pada masa sama, kita perlu beringat bahawa Kuching juga akan berhabis-habisan (selepas sekadar seri 1-1 dengan Penang FC di Stadium Bandaraya lima hari lalu),” katanya lagi. 

Alang-alang perlu bersusah-payah, pada Badrul Afzan, biarlah malam ini berkesudahan dengan kegembiraan buat tuan rumah.  — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram