Penggiliran bukan sebab kiper Terengganu tak tercalon ABK, Syihan masih ada aura jadi pilihan terhangat


  • Podium
  • Khamis, 06 Mac 2025

Dari kiri: Rahadiazli, Suhaimi serta Syed Nasrulhaq menampilkan aksi konsisten dan memberangsangkan buat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC

SENARAI pencalonan awal dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024/25 menerima respons baik daripada penyokong bola sepak tanah air.

Namun, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, calon diumumkan badan pengelola itu gagal meraih sokongan ramai, malah sebaliknya dipersoalkan atas pelbagai hal yang rancak diperkatakan di media sosial.

Ini termasuk senarai calon dalam kategori penjaga gol yang tidak menampilkan seorang pun wakil dari Terengganu FC meskipun pasukan itu dibarisi tiga pemain hebat dalam posisi itu.

BACA LAGI: Bukan saja Nor Hakim, ada 3 lagi nama prolifik pilih bersara awal jadi jurulatih

BACA LAGI: Kelebihan buat Khairulazhan kekalkan tempat di pintu gol Selangor FC tapi…

Tiada calon dari Terengganu FC berada dalam senarai 10 penjaga gol bagi ABK 2024/25. 

Mereka merupakan Suhaimi Hussain, Syed Nasrulhaq dan Rahadiazli Rahalim yang masing-masing sudah berkali-kali menampilkan aksi memukau di peringkat domestik buat skuad Sang Penyu.

Hal itu dibuktikan apabila kelab Pantai Timur tersebut hanya dibolosi sebanyak 22 kali dalam Liga Super dengan hanya Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC memegang rekod lebih baik.

Jadi, ketiadaan ketiga-tiga penjaga gawang itu dalam senarai ABK kali ini sehingga Pengarah Sukan Terengganu FC, Zul Fadli Rodzi juga mempersoalkan kriteria pemilihan MFL.

Bagi sesetengah penyokong, hal tersebut berpunca daripada kekerapan barisan kejurulatihan kelab dalam melakukan penggiliran di posisi itu sehingga menyukarkan panel untuk membuat keputusan.

Syed Nasrulhaq merupakan penjaga gol utama buat skuad Sang Penyu di pentas domestik. Facebook/Terengganu FC

Tetapi, bagi pemerhati sukan tempatan, T Avineshwaran, hujah diberikan itu adalah tidak logik memandangkan pendekatan sedemikian turut diambil pasukan lain dalam Liga Super.

"Jika ada yang mahu menggunakan teori tersebut, mereka seperti Kalamullah Al-Hafiz, Shahril Sa'ari dan Bryan See tidak sepatutnya juga berada dalam senarai itu. Kita tahu bahawa kebanyakan pasukan Liga Super musim ini melakukan penggiliran dalam memilih penjaga gol utama.

"Kalau anda melihat Terengganu FC, coach Tomislav (Steinbruckner) kerap menggunakan Suhaimi atau Syed Nasrulhaq. Selepas itu, sejak Badrul Afzan (Razali) ambil alih, Rahadiazli pula dipilih.

"Oleh itu, saya tidak fikir disebabkan penggiliran pemain tetapi mungkin mereka menilai dari segi statistik termasuk jumlah tepisan mahupun amaun kesilapan besar dilakukan," katanya kepada Majoriti.

Avineshwaran (kiri) beranggapan terdapat faktor lain yang dinilai pihak panel MFL. Instagram/T Avineshwaran

Berdasarkan statistik, Syed Nasrulhaq merupakan pilihan utama skuad Sang Penyu musim ini dengan 15 penampilan secara keseluruhan diikuti Suhaimi (sembilan) dan Rahadiazli (lapan).

Pilihan pelbagai itu sememangnya satu rahmat buat Terengganu FC yang boleh melakukan perubahan kerap berdasarkan lawan dihadapi serta gaya permainan mahu diterapkan barisan kejurulatihan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai calon terbaik untuk membawa pulang anugerah dalam kategori itu, Avineshwaran berkata, Syihan Hazmi yang kini beraksi buat skuad Harimau Selatan masih pilihan utama.

"Saya percaya Syihan (menang) kerana dia konsisten dalam Liga Super. Walaupun kita tahu JDT terlalu kuat dalam Liga Super, dia masih memberi gaya terbaik setiap kali diuji.

Syihan sudah merangkul dua gelaran ABK bagi kategori penjaga gol terbaik.

"Meskipun kita tahu Andoni (Zubiaurre) pilihan utama di pentas Asia dan tak mustahil akan beraksi kerap di peringkat domestik selepas ini, Syihan masih menunjukkan kematangan dengan membuktikan bahawa dia penjaga gol terbaik dalam arena bola sepak tempatan," katanya lagi.

Setakat ini, pemain kelahiran Kelantan itu sudah merangkul dua gelaran ABK berturut-turut dengan peluang cerah untuk mempertahankannya buat sekali lagi.

Ini kerana skuad Harimau Selatan kekal kukuh dalam saingan Liga Super apabila mereka hanya dibolosi tujuh kali daripada 20 perlawanan yang juga merupakan catatan sama seperti musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram