Adik perempuan tonggak skuad Jang hilang sejak Februari, kali terakhir dilihat depan sekolah


  • Podium
  • Khamis, 06 Mac 2025

Kali terakhir Nur Khalisya dilihat di depan Sekolah Menengah Convent, Jalan Peel, Kuala Lumpur.

ADIK kepada tonggak Negeri Sembilan FC (NSFC), Hadin Azman iaitu Nur Khalisya dilaporkan hilang sejak 26 Februari lepas dengan kali terakhir dilihat di depan Sekolah Menengah Convent, Jalan Peel, Kuala Lumpur.

Berdasarkan hebahan yang di media sosial, remaja perempuan berusia 16 tahun itu dilaporkan berpakaian kemeja T rumah sukan berwarna biru, berseluar trek hitam dan bertudung sekolah warna putih sebelum hilang tanpa jejak. 

Menerusi perkembangan di Insta Story, Hadin berkongsi bahawa masih tidak menerima apa-apa khabar mengenai adik perempuannya itu dengan hari ini sudah memasuki hari ke-10 kehilangan Nur Khalisya. 

BACA LAGI: Hampa musim tanpa piala, aksi berdepan Negeri Sembilan boleh rawat luka Terengganu

BACA LAGI: Mudah tewaskan Perak-Negeri Sembilan, kehilangan tonggak Johor Jewels cetus spekulasi

"Status 5 Mac 2025. Dah masuk hari kesembilan tapi kami masih tidak menerima sebarang berita keberadaan adik (Nur Khalisya). Kami hanya mampu menunggu dengan sabar dan cemas untuk berita daripada polis.

"Di bulan yang mulia ini, kami mohon doa agar Adik selamat pulang dengan segera," kata Hadin pada laman Insta Story yang dimuat naiknya pada Rabu. 

Pada hebahan yang dikongsikan oleh ahli keluarga dan rakan-rakan Hadin itu juga memberitahu jika sesiapa individu menjumpai Nur Khalisya boleh menghubungi nombor 014-628 1974 atau membawanya ke balai polis berhampiran. 

Tangkap layar hebahan mengenai kehilangan Nur Khalisya.

Kehilangan adik perempuan Hadin itu juga mendapat perhatian daripada beberapa pemain bola sepak tanah air dan antara yang berkongsi mengenainya ialah bekas pemain Perak, Ahmad Syamim Yahya. 

Untuk rekod, Hadin menyertai Negeri Sembilan pada awal musim 2024/2025 selepas menyarung jersi Penang FC selama semusim. Dalam 21 penampilan bersama Penang, Hadin berjaya menjaringkan empat gol dan melakukan tiga bantuan jaringan.

Selain itu, pemain berusia 30 tahun itu juga pernah mewakili Harimau Malaya pada tahun 2016 hingga 2019 dan mengumpul sembilan kaps dan menjaringkan satu gol.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram