Ikut langkah ayah, anak Razman Roslan kini berdarah Merah Kuning


  • Podium
  • Rabu, 05 Mac 2025

Anak Razman Roslan menandatangani kontrak selama empat tahun, bermula tahun ini hingga 2028 bersama Akademi Selangor FC B-12. — Instagram/AyanRizqi

KE mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi.

Demikian perumpamaan sesuai untuk melihat satu lagi legasi diteruskan apabila legenda Selangor FC iaitu Razman Roslan turut mewariskan semangat Gergasi Merah kepada anaknya, Muhammad Aryan Rizqi Mohd Razman.

Menerusi satu perkongsian dibuat oleh Razman di laman Instagram miliknya, pemain yang beraksi sebagai pertahanan tengah ketika bergelar pemain itu memuat naik beberapa foto dia bersama isteri dan anaknya menandatangani kontrak bersama Selangor.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya nak main untuk Selangor', Razman Roslan kata bukan hanya sebab Hamidin suruh keluar

BACA LAGI: 'Saya ada lihat sesuatu padanya', Razman Roslan puas hati nama Adib Raop tersenarai

Aryan Rizqi yang menyarung jersi nombor 13 bersama Gergasi Merah itu menandatangani kontrak selama empat tahun, bermula tahun ini hingga 2028. Aryan Riqzi difahamkan akan bermain bersama Akademi Selangor FC Bawah 12 Tahun (B-12).

Ia pastinya satu pencapaian membanggakan buat Razman apabila melihat anak keduanya itu mengikut jejak langkah.

Namun, bekas pemain kebangsaan itu berpesan agar Aryan Riqzi tetap memberi fokus terhadap urusan akademiknya.

"Cabaran baharu tetapi semangat sama. Doakan semoga dipermudahkan urusan Adik (Aryan Riqzi) dalam sukan bola sepak. Banyak cabaran dan rintangan yang perlu dihadapi untuk berjaya. Apa pun pelajaran jangan sesekali dilupakan kerana bola sepak bukanlah segala-galanya," pesan Razman.

 

 

Bukan hanya mewarisi bakat dan legasi dengan bermain untuk Selangor ayahnya, malah darah kapten juga mengalir dalam diri Aryan Rizqi apabila anak kedua daripada empat beradik itu diberi kepercayaan untuk menjadi ketua pasukan Akademi Selangor FC B-12.

Razman yang kini bertugas sebagai pundit atau pengulas sukan di stesen televisyen swasta tanah air menghabiskan kariernya dengan mewakili tiga pasukan iaitu Selangor, Pahang dan Melaka United.

Memulakan kariernya bersama Terengganu pada 2004 hingga 2012 dengan lebih 125 penampilan, Razman kemudiannya berhijrah ke Pahang pada 2013 sebelum kembali ke Selangor pada 2016 dan menghabiskan kariernya bola sepaknya bersama Melaka United.

Aryan Rizqi bermain untuk  Akademi Selangor FC B-12. — Instagram/AyanRizqi

Untuk rekod, Razman mempunyai pencapaian karier yang baik sepanjang bergelar pemain bola sepak dengan memenangi kesemua kejuaraan domestik Liga Malaysia. Musim 2005 Razman menjuarai 'treble' (Liga Premier Malaysia, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia) bersama Selangor.

Selain itu, bekas pemain berusia 40 tahun juga antara bintang yang membantu skuad kebangsaan menjuarai Piala AFF 2010 di samping mendapat anugerah pertahanan terbaik pada 2014 bersama Sri Pahang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram