Mimpi buruk melanda, Liverpool boleh hilang hingga 7 pemain aksi menentang PSG


  • Podium
  • Ahad, 02 Mac 2025

Liverpool memerlukan skuad terbaik untuk melepasi cabaran daripada gergasi bola sepak Perancis itu di pusingan 16 pasukan terbaik UCL. — Agensi

LIVERPOOL kini kelihatan lebih yakin untuk merekodkan musim bersejarah selepas melangkah ke pentas akhir Piala Liga serta berjaya mencipta jurang 13 mata di persada Liga Perdana Inggeris (EPL).

Meskipun impian untuk muncul dengan gelaran treble tidak kesampaian susulan penyingkiran dari Piala FA, skuad The Reds masih bersungguh-sungguh menjuarai semua pertandingan disertai.

Ini termasuk menjulang gelaran Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dengan kelab Merseyside itu sudah meloloskan diri ke pusingan 16 pasukan dengan cabaran besar menanti apabila mereka akan berdepan gergasi dari Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).

BACA LAGI: Pengalaman UCL tak bantu import Selangor, JDT, kelab Terengganu sesuaikan diri di Liga Super

BACA LAGI: Lepas undian dibuat, format baharu UCL tidaklah serumit disangka

PSG memiliki lambakan pemain berkualiti dalam pasukan mereka musim ini. — Agensi

Pengalaman jelas berpihak kepada Liverpool yang sudah ditabalkan 'Raja Eropah' sebanyak enam kali, namun skuad kendalian Luis Enrique itu kelihatan cukup mantap ketika ini.

Jadi, persiapan lebih baik perlu dilakukan pengurus The Reds, Arne Slot bagi pertembungan pertama di tempat lawan pada Khamis untuk sekurang-kurangnya meraih bekalan selesa.

Bagaimanapun, pelan awal cuba diterapkan pengendali kelahiran Belanda itu perlu dirombak kerana terdapat kemungkinan tujuh daripada pemain pasukan tersebut tidak akan dapat diturunkan.

Setakat ini, Joe Gomez dan Tyler Morton disahkan terpaksa melupakan aksi di Perancis berikutan kecederaan jangka masa panjang dialami sementara bek kanan, Conor Bradley kemungkinan juga perlu disisihkan akibat kecederaan hamstring dialami pada Januari.

Bradley (bawah) sudah bergelut dengan kecederaan sejak Januari lalu. — Agensi

Kehilangan ketiga-tiga pemain muda itu sememangnya satu hal merunsingkan memandangkan khidmat masing-masing diperlukan menjelang jadual padat bakal dihadapi skuad The Reds.

Selain itu, Amara Nallo yang mencipta debut dalam skuad utama ketika berdepan PSV Eindhoven juga terpaksa disisihkan selepas dilayangkan kad merah dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Namun, isu kehilangan pemain Liverpool boleh menjadi lebih merunsingkan sekiranya tiga daripada pemainnya terus mengumpul kad kuning dalam aksi pertama di tempat lawan.

Mereka merupakan Andy Robertson, Harvey Elliot dan Ibrahima Konate yang boleh dikenakan penggantungan satu perlawanan selepas masing-masing diberi dua kad kuning setakat ini.

MacAllister (kanan) sudah dilayangkan empat kad kuning dalam saingan UCL musim ini. — Agensi

Berdasarkan peraturan UEFA, seorang pemain akan digantung sekiranya diberi amaran sebanyak tiga kali yang tidak membawa kepada layangan kad merah, sekali gus mendesak tiga tonggak The Reds itu supaya lebih berhati-hati.

Seorang lagi pemain yang berkemungkinan terlepas mana-mana aksi berdepan PSG adalah pemain tengah Alexis MacAllister yang sudah menerima empat kad kuning sepanjang peringkat kumpulan.

Meskipun dia sudah digantung satu perlawanan sebelum ini, peraturan UEFA turut menyebut seseorang boleh digantung sekiranya diberikan kad kuning dalam jumlah ganjil selepas menjalani hukuman.

Sekiranya kesemua pemain itu tidak dapat diturunkan, Liverpool dan Arne Slot perlu mencari pendekatan baharu untuk meloloskan diri ke peringkat suku akhir dalam misi menjulang trofi UCL buat kali ketujuh dalam sejarah kelab. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram