
JASADNYA mungkin masih bersama Liverpool di Anfield, tetapi sukar untuk dinafikan jiwa Trent Alexander-Arnold mungkin sudah pun dimiliki Real Madrid.
Pemain itu masih tidak menandatangani kontrak baharu bersama-sama The Reds, jika terus begini, maka dia boleh ke Real secara percuma.
Liverpool mungkin sudah tahu yang Alexander-Arnold tidak mahu bersama mereka lagi. Oleh itu, mereka sepatutnya segara mendapatkan pengganti bersesuaian untuknya.
BACA LAGI: [VIDEO] Trent kagum 'free kick' bintang JDT, terkejut ada sepupu Mac Allister di Perak
BACA LAGI: Tak rela kehilangan Trent, Liverpool tolak tawaran Real Madrid mentah-mentah
Jeremie Frimpong
Jelas menyerlah bersama Xabi Alonso di Bayer Leverkusen, Jeremie Frimpong dilihat sebagai calon ideal untuk menggantikan tempat Alexander-Arnold.
Merupakan pemain antarabangsa Belanda, Frimpong dilihat versatil dari segi posisi kerana bukan sekadar beraksi di pertahanan kanan, dia juga boleh bermain sebagai pertahanan kiri dan pemain sayap kanan.
Frimpong menyerlah di bawah kendalian Xabi Alonso.
Kontraknya bakal tamat pada musim panas 2028. Oleh itu, Liverpool mungkin perlu berbelanja lebih sebelum mendapatkan khidmatnya yang dianggarkan bernilai €50 juta (RM232 juta).
Dengan kualiti yang hampir serupa dimiliki Alexander-Arnold, tidak terkejut sekiranya Liverpool benar-benar mengejarnya musim depan.
Pedro Porro
Salah seorang nama yang menyerlah di Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, Pedro Porro pastinya menjadi berada di dalam radar Liverpool.
Merupakan salah seorang pertahanan kanan terbaik di England, kualiti Porro bukan saja terserlah ketika bertahan, namun cukup bagus semasa membantu serangan.
Porro merupakan aset penting Spurs.
Porro pastinya mempunyai markah tambahan kerana pengalaman sedia ada beraksi di England yang dimilikinya. Ia memudahkan Porro untuk mudah menyesuaikan diri iklim EPL.
Namun begitu, sebagai bintang utama Tottenham Hotspur, pastinya mereka akan meletakkan harga tinggi kepada Liverpool jika ingin mendapatkannya.
Conor Bradley
Jika Liverpool mahu teruskan dengan pilihan yang ada, mereka boleh jadikan Conor Bradley sebagai bintang seterusnya di pertahanan kanan.
Untuk beberapa musim, Bradley sudah menjadi pemain pilihan kedua di belakang Alexander-Arnold dan peranannya dalam skuad The Reds semakin luas terutamanya bersama Arne Slot.
Bradley merupakan generasi seterusnya bagi pertahanan kanan Liverpool.
Liverpool boleh memilih untuk menggunakan Bradley. Bangunkan bakatnya, berikan minit secukupnya hingga dia mampu menjadi pertahanan kanan yang kompeten.
Namun begitu, mampukah dia menjadi seistimewa Alexander-Arnold kelak? Hanya masa dapat menentukan perjalanan Bradley bersama Liverpool. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram