Pengalaman UCL tak bantu import Selangor, JDT, kelab Terengganu sesuaikan diri di Liga Super


  • Podium
  • Sabtu, 18 Jan 2025

Dari kiri: Boateng, Boakye dan Jese tidak meninggalkan impak meskipun memiliki pengalaman dalam pertandingan peringkat Eropah itu.

KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk membenarkan kelab Liga Super membawa masuk pemain import sememangnya satu langkah yang baik dalam menaikkan lagi tahap kompetitif.

Meskipun kebenaran itu memberi kesan terhadap perbelanjaan pasukan, kecekapan pihak pengurusan dalam menguruskan kewangan masing-masing boleh mengelakkan sebarang tunggakan bayaran berlaku.

Namun, bagi kelab-kelab yang memiliki sumber kewangan kukuh, mereka tidak akan berfikir panjang untuk membawa masuk import dengan pengalaman luas dalam karier dengan ada daripadanya pernah beraksi di Eropah.

BACA LAGI: Lepas undian dibuat, format baharu UCL tidaklah serumit disangka

BACA LAGI: [VIDEO] Real Madrid julang trofi UCL, lepas Carlo Ancelotti marah Vinicius Junior

WhatsApp Image 2025-01-17 at 7.40.40 PM

Liga Juara-Juara UEFA merupakan pertandingan kelab paling berprestij di dunia. Agensi

Bukan itu sahaja, sesetengah daripada import Liga Super sejak penubuhannya pernah beraksi dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) yang merupakan pertandingan tertinggi bagi kelab di sekitar benua itu.

Tetapi, pelaburan besar dibuat ada masanya tidak membuahkan hasil seperti mana diharapkan kerana sesetengah daripada mereka gagal menyesuaikan diri bersama pasukan masing-masing.

Berdasarkan pemerhatian, berikut merupakan tiga import dengan penampilan dalam pertandingan tersebut, namun gagal membuktikan nilai sepanjang beraksi dalam Liga Super.

1. Jese Rodriguez (JDT)

Kira-kira dua minggu selepas penutupan jendela perpindahan kedua Liga Super 2024/25, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengumumkan kehadiran Jese Rodriguez yang ditandatangani sebagai ejen bebas setelah dilepaskan pasukan Brazil, Coritiba.

Penghijrahan itu menjadi buah mulut peminat bola sepak antarabangsa kerana pemain kelahiran Sepanyol tersebut pernah beraksi di Eropah bersama beberapa kelab, seperti Real Madrid dan Paris Saint-Germain.

Tidak cukup dengan itu, peledak terbabit pernah menjulang dua trofi UCL sepanjang beraksi buat skuad Los Blancos, sekali gus menjadikannya pemain luar negara pertama bermain dalam Liga Super dengan gelaran itu.

afe78bf252729b1ffb1ae206827a187e_crop_exact

Jese menjulang dua gelaran UCL bersama Real Madrid. Agensi

Bagaimanapun, sehingga hari ini, impak daripada kehadiran Jese masih belum dirasakan kerana dia hanya merekodkan lima penampilan secara keseluruhan dengan dua daripadanya direkodkan dalam Liga Super.

Malah, sepanjang tempoh kira-kira lima bulan di Selatan tanah air, pemain itu hanya menjaringkan satu gol, iaitu ketika berdepan Kuala Lumpur (KL) Rovers dalam saingan Piala Malaysia.

Sekiranya hendak dibandingkan dengan kemeriahan media ketika penyerang tersebut hadir, Jese merupakan antara import yang mengecewakan meskipun pernah beraksi dalam kejohanan terbabit.

2. Richmond Ankrah (Selangor)

Pada jendela perpindahan kedua 2023, Selangor FC mengambil keputusan membawa masuk penyerang kelahiran Ghana, Richmond Boakye meskipun pasukan itu tidak mengalami kepincangan dalam jentera serangan.

Keputusan berkenaan pada awalnya menerima sambutan baik daripada penyokong Merah Kuning kerana pemain tersebut memiliki pengalaman luas dalam kariernya, termasuk penampilan dalam UCL.

RICHI-YID

Boakye ketika menjaringkan gol buat Red Star Belgrade. Agensi

Penampilan itu direkodkan ketika dia menghabiskan tempoh lima musim dia bermain buat kelab Serbia, Red Star Belgarde dengan satu gol sempat dijaringkan sepanjang 16 kali diturunkan.

Bagaimanapun, setibanya Boakye bersama skuad Gergasi Merah, harapan tinggi diletakkan di bahunya gagal direalisasikan kerana dia gagal menyesuaikan diri dalam sistem dipakai Tan Cheng Hoe.

Meskipun sempat mencetak hatrik ketika berdepan Kelantan FC, pulangan dibawanya boleh dilabel mengecewakan memandangkan pemain itu lebih mengharapkan bantuan rakan sepasukan berbanding membawa nilai istimewa buat pasukan.

3. George Boateng (T-Team)

Sebelum menceburkan diri dalam dunia kejurulatihan, George Boateng yang merupakan pemain tengah bertahan pernah beraksi dalam Liga Super buat T-Team untuk dua musim.

Namun, sepanjang tempoh berkenaan, import dari Ghana tersebut tidak pernah membuktikan nilai sebenarnya dalam pasukan memandangkan kelab berpangkalan di Terengganu itu turut bergelut sama.

Impak kurang meyakinkan itu sedikit sebanyak menghampakan kerana Boateng bukanlah pemain yang calang-calang sepanjang kariernya melihat kepada barisan kelab pernah diwakilinya.

c8cdd2873792c36bfd2289fc52cac015

George Boateng ketika beraksi buat Feyenoord pada 1990-an. Agensi

Ini termasuk gergasi bola sepak Belanda, Feyenoord yang diwakilinya selama dua musim bermula 1995 dengan lapan penampilan pernah direkodkan dalam UCL dan satu gol sempat dijaringkan.

Tidak cukup dengan itu, Boateng juga berpeluang meraih pengalaman dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Coventry City, Aston Villa, Middlesbrough dan Hull City FC sebelum menyertai T-Team pada 2012.

Kini, dia yang sudah bersara sejurus meninggalkan kelab Liga Super itu mengambil keputusan untuk menceburi bidang kejurulatihan dengan dia turut terlibat dalam skuad kejurulatihan Ghana ketika Piala Dunia yang lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram