
KELEBIHAN 11 mata berbanding pencabar terdekat meletakkan Liverpool di landasan tepat untuk menjuarai liga di England buat kali ke-20 dalam sejarah penubuhan kelab.
Mereka yang kini sudah mengumpul 64 mata daripada 27 perlawanan hampir pasti dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan pasukan di tangga kedua, Arsenal tidak berada dalam rentak terbaik.
Bagaimanapun, misi skuad The Reds sedikit terganggu apabila pengurusnya, Arne Slot tidak akan berada di kawasan teknikal bagi dua aksi akan datang berikutan penggantungan dikenakan terhadapnya.
BACA LAGI: 'Dia kaki kanan', Arne Slot enggan salahkan Nunez terlepas peluang terbuka depan gol
BACA LAGI: Arne Slot perlu segera sedar Endo sebenarnya 'kunci' mampu bantu Liverpool julang juara EPL
Takhta EPL musim ini hampir pasti menjadi milik Liverpool. — Agensi
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan, jurulatih kelahiran Belanda itu diberikan hukuman tersebut selepas melakukan protes selepas pasukannya mengalami keputusan seri ketika berdepan Everton.
Jadi, dengan keputusan sudah dikeluarkan, Arne Slot terpaksa melupakan hasrat untuk bersama anak-anak buahnya dalam aksi EPL menentang Newcastle United pada Khamis serta pertemuan dengan Southampton pada 8 Mac depan.
Tidak cukup dengan itu, Persatuan Bola Sepak (FA) England turut mengenakan denda sebanyak £70,000 (RM393,000) ke atas pengendali The Reds tersebut dengan pembantunya, Sipke Hulshoff juga diarahkan membayar denda bernilai £7,000 (RM40,000).
Kesemua tindakan berkenaan dikenakan berikutan kekecohan yang berlaku selepas Liverpool mencicirkan mata di Goodison Park berikutan keputusan seri 2-2 dicatatkan.
Arne Slot (kanan) membuat bantahan selepas tamat perlawanan di Goodison Park. — Agensi
Dalam aksi pada 13 Februari lalu itu, skuad The Kop dibolosi pada minit akhir kepada jaringan cantik James Tarkowski yang menghalang kemenangan Liverpool di venue bersejarah berkenaan.
Ulang tayang perlahan menyaksikan gol itu sepatutnya dibatalkan berikutan terdapatnya kesalahan dilakukan pemain Everton, namun semakan menggunakan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan jaringan berkenaan.
Menyedari kontroversi yang timbul, Arne Slot kemudian bertemu dengan pengadil, Michael Oliver selepas perlawanan untuk melakukan bantahan yang bagaimanapun dibalas dengan layangan kad merah.
Ketiadaan pengurus itu di tepi padang sudah tentu sedikit menjejaskan anak-anak buahnya, namun mereka bernasib baik kerana aksi berdepan Southampton bukanlah sesuatu yang terlalu menggusarkan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram