Bakat sahaja tak cukup, Roy Keane anggap Bruno Fernandes kapten tak boleh diharap


  • Podium
  • Jumaat, 28 Feb 2025

Keane meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Bruno Fernandes. — Agensi

BEKAS kapten Manchester United, Roy Keane meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Bruno Fernandes dengan menegaskan bahawa bakat sahaja tidak mencukupi untuk menjadi seorang ketua pasukan yang berkesan di atas padang.

Tonggak berusia 30 tahun yang dianggap sebagai salah satu pembelian paling berjaya selepas era Sir Alex Ferguson tersebut telah diberikan diberikan kepercayaan untuk memakai lilitan kapten pada Julai 2023.

Pemain tengah Portugal itu terus menjadi tonggak utama pasukan, dengan persembahan cemerlang dalam kemenangan 3-2 ke atas Ipswich Town serta peranannya dalam kebangkitan seri 2-2 menentang Everton.

BACA LAGI: Lepas tutup kantin siap potong menu makan, Man United sanggup korek tabung Liverpool berebut Branthwaite

BACA LAGI: Man United perlu rekrut jelmaan Roy Keane bantu Ruben Amorim

Ketua jurulatih Man United, Ruben Amorim turut memuji Fernandes sebagai seorang pemain istimewa selepas kejayaan skuad The Red Devils dalam perlawanan berkenaan.

Tidak senada dengan jurulatih kelahiran Portugal tersebut, Keane tetap berpendapat bahawa Fernandes masih belum menunjukkan ciri-ciri kepimpinan yang sebenar.

Dalam satu perbincangan hangat bersama Ian Wright dalam podcast The Overlap, Keane mengkritik Fernandes dan rakan sepasukan sebagai 'penyamar' kerana tidak memiliki jiwa kepimpinan yang diperlukan.

 

 

“Dia (Fernandes) bukan kapten yang kami harapkan. Mereka mencatatkan keputusan seri dengan Everton. (Meraikan) seolah-olah mereka telah memenangi piala. Ia sangat pelik. Para penyokong juga, saya nampak penyokong di stadium dan mereka menyanyikan lagu untuk Bruno.

"Saya lihat pemain-pemain ini, saya rasa kamu semua ini adalah penyamar. Saya menonton aksi mereka di Everton pada hari Sabtu. Mereka (merujuk kepada penyokong) berpura-pura mengejar pemain.

“Bakat sahaja tidak cukup. Bruno pemain yang berbakat, tapi bakat sahaja tidak cukup. Anda mahukan seseorang yang berkata, 'kawan-kawan, adakah kamu bersama saya?' Pemain perlu melihat diri mereka sendiri," katanya.

Legenda Man United itu juga membandingkan Fernandes dengan bekas kapten Arsenal, Tony Adams, yang menurutnya memiliki semangat juang tinggi sebagai seorang pemimpin.

Fernandes musim ini meledak 10 gol dan 13 bantuan jaringan untuk Man United. — Agensi

Perdebatan menjadi semakin panas apabila Wright mendakwa bahawa tanpa Fernandes, United mungkin akan berada dalam zon penyingkiran.

Keane segera membalas dengan menekankan bahawa kepimpinan adalah tentang tindakan, bukan sekadar bakat atau statistik di atas kertas.

Ketika ini, Manchester United menduduki tangga ke-14 Liga Perdana selepas kemenangan dramatik mereka ke atas Ipswich.

Pasukan kendalian Amorim itu akan kembali beraksi dalam Piala FA menentang Fulham hujung minggu ini sebelum berdepan Real Sociedad di Sepanyol dalam pusingan 16 terakhir Liga Europa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram