
PEMAIN tengah muda Liverpool, Harvey Elliott dinasihatkan untuk mempertimbangkan meninggalkan skuad The Reds selepas dilihat berang selepas kemenangan pasukannya ke atas Newcastle United dengan keputusan 2-0 pada Khamis.
Bintang skuad bawah 21 tahun England itu tidak diturunkan sepanjang perlawanan yang menyaksikan pasukan kendalian Arne Slot melebarkan jurang di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada 13 mata.
Meskipun menjadi antara pemain yang kerap digunakan oleh Jurgen Klopp musim lalu, Elliott hanya membuat 17 penampilan setakat ini, dengan 10 daripadanya di Liga Perdana dan hanya empat kali sebagai pemain utama.
BACA LAGI: Jasad di Anfield jiwa di Madrid, Liverpool patut intai 3 calon pengganti Trent Alexander-Arnold
BACA LAGI: Misi 20 Liverpool terganggu, Arne Slot digantung perlawanan dan didenda hampir RM400,000
Kecederaan kaki yang dialaminya di awal musim menyebabkan dia terpaksa berehat selama tiga bulan, dan sejak kembali pada Disember lalu, pemain berusia 20 tahun itu masih belum berjaya menembusi kesebelasan utama Slot.
Percubaannya untuk kembali menyerlah juga tidak membuahkan hasil, dengan penampilan terakhirnya sebagai pemain utama ketika menentang Plymouth Argyle berakhir dengan kesilapan yang membawa kepada penalti, sekali gus menyumbang kepada penyingkiran Liverpool dari saingan Piala FA.
Sejak kekalahan itu, pemain muda The Reds tersebut hanya diturunkan sekali sebagai pemain gantian ketika menentang Manchester City.
Situasinya semakin sukar dengan persaingan di bahagian tengah yang didominasi oleh Alexis Mac Allister, Curtis Jones, dan Dominic Szoboszlai, selain Ryan Gravenberch yang semakin menunjukkan peningkatan prestasi.
Jones antara pemain sedang meningkat naik The Reds. — Agensi
Bekas pengurus Tottenham Hotspur, Tim Sherwood, berpendapat bahawa Elliott kelihatan kecewa selepas diketepikan daripada perlawanan menentang Newcastle buat kali ke-12 musim ini.
Bercakap dalam program Gillette Soccer Special di Sky Sports, Sherwood mencadangkan pemain muda itu mencari peluang di kelab lain.
"Saya lihat dia di bangku simpanan dan jelas dia tidak gembira. Wajahnya menunjukkan kemarahan dan kekecewaan. Itu sesuatu yang saya kagumi kerana ia menunjukkan dia bukan pemain yang sekadar mahu duduk tanpa beraksi," kata Sherwood.
Bekas pengurus Tottenham Hotspur, Tim Sherwood. — Agensi
Tambahnya, Elliott harus menilai masa depannya di Anfield jika tidak diberikan lebih banyak minit permainan.
“Liverpool adalah kelab hebat, tetapi jika dia tidak mendapat tempat dalam pasukan utama secara konsisten, dia harus mempertimbangkan pilihan lain. Pemain berkualiti sepertinya seharusnya berada di atas padang, bukan di bangku simpanan,” katanya.
Dengan persaingan sengit di bahagian tengah dan peluang bermain yang semakin terhad, masa depan Elliott di Liverpool terus menjadi tanda tanya. —Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram