
PENYERANG sayap Manchester United, Alejandro Garnacho menimbulkan tanda tanya apabila memuat naik foto di Insta Story selepas digugurkan oleh pengurus, Ruben Amorim semasa kemenangan 3-2 ke atas Ipswich Town di Old Trafford, Manchester, England pada Khamis.
Dengan United mendahului 2-1, Amorim terpaksa melakukan perubahan taktikal apabila Patrick Dorgu dilayangkan kad merah akibat cabaran keras ke atas sayap Ipswich, Omari Hutchinson.
Ketika Man United terpaksa bermain dengan 10 pemain, Amorim mengambil keputusan untuk menggantikan Garnacho dengan bek kanan, Noussair Mazraoui bagi memperkukuhkan benteng pertahanan.
BACA LAGI: Man United perlu rekrut jelmaan Roy Keane bantu Ruben Amorim
Keputusan mengejut Amorim itu jelas mengecewakan pemain muda antarabangsa Argentina berkenaan yang dilihat terus berjalan ke terowong tanpa menyertai rakan sepasukannya di bangku simpanan.
Dalam sidang media selepas perlawanan, pengendali dari Portugal itu sendiri mengakui bahawa dia tidak berpuas hati dengan sikap Garnacho setelah digantikan namun akan mengambil pendekatan untuk berbicara dengannya.
"Saya akan berbincang dengan Garnacho mengenai perkara itu. Saya akan bercakap lebih lanjut mengenainya dalam sidang media akan datang," katanya ketika mengulas mengenai perkara itu kepada media selepas perlawanan.
Sementara itu, Garnacho mengambil kesempatan untuk memuat naik gambar di Instagram. Namun, bukannya berkongsi mesej meraikan kemenangan, dia memuat naik gambar dirinya berjalan dengan wajah yang kecewa, memberi gambaran tentang perasaannya selepas keputusan tersebut.
Ruben Amorim on Garnacho going down the tunnel after he was subbed off: "You are making the connection with Rashford right? I am going to talk with Garnacho about that. I will talk about that in the next press conference" pic.twitter.com/EfGZjpbbEI
— BeanymanSports (@BeanymanSports) February 26, 2025
Ini bukanlah kali pertama hubungan antara Garnacho dan Amorim terganggu. Sebelum derbi Manchester, Amorim membuat keputusan untuk menggugurkan Garnacho dan Marcus Rashford daripada skuad selepas tidak berpuas hati dengan sikap kedua-duanya dalam latihan.
Walaupun Rashford terus dipinggirkan dan kini sudah dipinjamkan ke Aston Villa, Garnacho segera kembali mendapatkan tempat dalam pasukan United.
Pada jendela perpindahan Januari lalu, Chelsea dilaporkan berusaha keras untuk menandatangani Garnacho, dengan ejen-ejennya dilihat menyaksikan perlawanan Chelsea di Stamford Bridge, mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram