
UMUM mengetahui bahawa pemain tengah negara, Stuart Wilkin didedahkan kepada dunia bola sepak di Eropah, termasuk bersama akademi Southampton yang pernah melahirkan beberapa bintang ternama.
Namun, mungkin ramai kurang menyedari bahawa tonggak skuad Sang Badak itu juga pernah melebarkan kariernya hingga ke Amerika Syarikat ketika dia menyertai Missouri State Bears pada 2016.
Berdasarkan maklumat diperolehi, Stuart menyertai pasukan tersebut ketika menyambung pelajaran dalam pengajian Komunikasi di Missouri State University sehingga 2019.
BACA LAGI: Dapat 'task' penyerang sayap di JDT II, Stuart ambil masa 'adapt' jadi pemain nombor 8
BACA LAGI: Muat naik hantaran kontroversi sertai Serie B, fans harap jenaka Stuart Wilkin tak jadi kenyataan
Stuart beraksi buat Missouri State Bears ketika menyambung pelajaran di Amerika Syarikat. — Agensi
Sepanjang tempoh berkenaan, dia pernah mencatatkan beberapa penampilan dalam pelbagai kejohanan peringkat universiti sebelum menamatkan pengajian dan meneruskan karier di negara kelahirannya.
Tempoh dihabiskan di England bersama kelab kerdil, Metropolitan Police juga tidaklah begitu lama kerana pada 2021, Stuart kemudian menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) II sebagai prospek terhangat negara.
Bagaimanapun, dia tidak bernasib baik di Selatan tanah air apabila dia tidak berpeluang menembusi skuad utama, sekali gus menyaksikannya dipinjam ke Sabah FC bermula tiga tahun lalu.
Perpindahan itu jelas membuahkan hasil kerana Stuart sudah berjaya menemui rentak sebenar dalam karier sehingga menyaksikannya diangkat sebagai antara pemain tengah terbaik hari ini.
Tetapi, selepas bertahun-tahun beraksi dalam Liga Super, dia masih tidak dilupakan jurulatih yang bertanggungjawab mencungkil bakatnya di usia muda, terutamanya semasa dia berada di Amerika Syarikat.
Stuart (kanan) sempat menyantuni Seabolt yang hadir menyaksikan aksi antara Sabah FC dan Selangor FC. — Facebook/Rhino Pride
Ini kerana selepas aksi Liga Super menentang Selangor FC di tempat lawan pada Khamis, Stuart sempat bertemu salah seorang individu yang memberi pendedahan kepadanya di peringkat universiti.
"Stuart Wilkin pernah bermain di Missouri State Bears Soccers. Semalam (Khamis), Stuart Wilkin jumpa Ketua Jurulatih Missouri State Bears, Michael Seabolt," tulis penyokong menerusi akaun Facebook Rhinos Pride.
Berdasarkan statistik di laman universiti berkenaan, jurulatih tersebut mula bertugas sebagai pengendali utama pada 2022, namun berkemungkinan sudah bersama mereka sejak bertahun-tahun lalu.
Selain bertugas buat Missouri State Bears, Seabolt juga pernah mengendalikan beberapa pusat pengajian lain sekitar Amerika Syarikat selain terlibat dalam kelab di peringkat belia.
Kehadirannya di Stadium MBPJ, Selangor bagi menyaksikan perlawanan tersebut membuktikan dia masih mengingati Stuart yang boleh dilabel sebagai antara produk terbaik mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram