Dapat 'task' penyerang sayap di JDT II, Stuart ambil masa 'adapt' jadi pemain nombor 8


  • Podium
  • Selasa, 31 Dis 2024

Stuart membantu Sabah menduduki tempat ketiga dalam Liga Super untuk musim 2022 dan 2023. — Facebook/SabahFC

TONGGAK skuad kebangsaan, Stuart Wilkin rupanya pernah menjadi pemain sayap dan penyerang kedua semasa tahun awalnya bermain secara profesional bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) II pada 2021.

Namun, posisinya itu berubah apabila dia menyertai Sabah pada 2022 apabila bekas jurulatih Sang Badak, Datuk Ong Kim Swee memintanya bermain sebagai pemain tengah box-to-box atau lebih dikenali sebagai 'pemain nombor 8'.

Stuart mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri tetapi lama kelamaan dia telah menjadikan dirinya sebagai salah seorang pemain tengah terbaik dalam liga dan menjadi aset untuk pasukan kebangsaan.

BACA LAGI: Muat naik hantaran kontroversi sertai Serie B, fans harap jenaka Stuart Wilkin tak jadi kenyataan

BACA LAGI: Reda jika Stuart Wilkin ke Selangor, fans The Rhinos cuma pesan jangan lupa sejarah silam

Pemain berusia 26 tahun dari Woking, England yang mempunyai warisan Malaysia melalui ibunya itu gembira kerana dia membuat perubahan baharu seperti pertukaran posisi itu.

“Saya mula bermain di bahagian sayap ketika saya membesar di England. Saya bermain untuk akademi Southampton dan kemudian berpindah ke Amerika Syarikat. Di sana saya belajar dan bermain di Universiti Missouri.

“Ketika itu, saya bermain sebagai pemain sayap atau malah sebagai pemain tengah menyerang, semuanya berperanan menyerang. Apabila saya menandatangani perjanjian dengan JDT, saya masih ditempatkan dalam peranan tersebut.

“Walaupun di Sabah, Kim Swee memberitahu saya akan sesuai dengan peranan box-to-box. Ia mengambil masa untuk membiasakan diri tetapi kini saya bermain dengan baik dalam peranan itu sama ada untuk Sabah dan Malaysia.

"Saya kini boleh dengan bangganya mengatakan bahawa saya boleh memainkan pelbagai peranan, yang bagus dalam bola sepak moden," kata pemain yang memiliki ijazah pemasaran itu memetik temu bual bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Sejak 2022, Stuart telah memenangi 27 kaps dan menjaringkan enam gol untuk pasukan kebangsaan serta membantu kelabnya menduduki tempat ketiga dalam Liga Super untuk dua musim berturut-turut (2022 dan 2023).

Pada musim semasa, skuad The Rhinos berada di tangga ketiga liga dengan 29 mata daripada 15 perlawanan.

Bermain untuk Harimau Malaya akan sentiasa istimewa untuk Stuart.

“Ada masa ketika saya membesar, peminat dan orang lain akan berkata saya boleh bermain untuk Malaysia suatu hari nanti kerana ia warisan saya. Setiap kali cuti sekolah, saya akan pulang ke Malaysia.

“Impian saya ketika berada di Southampton kini telah menjadi kenyataan. Saya gembira menjadi sebahagian daripadanya sekarang," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram