
KESETIAAN seseorang pemain bersama sesebuah kelab sering dicurahkan atas nilai pasukan itu kepada dirinya, termasuk faktor tempoh diluangkan sejak zaman belia dan pembangunan.
Tetapi, senario sedikit berbeza dapat disaksikan dalam landskap bola sepak tempatan kerana ada yang memilih untuk kekal di sesebuah pasukan disebabkan hampir dengan tempat lahir masing-masing.
Keputusan untuk terus setia itu menyaksikan mereka mudah mencuri hati penyokong, lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang kukuh dengan sentimen anak jati meskipun sukan tersebut sudah menghala ke arah penswastaan sepenuhnya.
BACA LAGI: Bantu Selangor pintas JDT II, Haykal Danish wajar diangkat lepas setia bersama Gergasi Merah
BACA LAGI: Dihalau fans, Casemiro berdegil mahu setia bersama Man United
Bagaimanapun, kesetiaan diberikan kadang-kala memakan diri apabila seseorang pemain itu tidak berkesempatan menjulang trofi meskipun tahu peluang cerah dimiliki di tempat lain.
Malah, ada dalam kalangan pemain lokal yang sudah meluangkan tempoh lebih lima tahun berkhidmat buat sesebuah kelab dan belum meraih sebarang kejayaan, namun masih tidak memiliki sebarang kenangan dalam koleksi kejuaraan.
Berdasarkan pemerhatian, berikut merupakan tonggak Sabah, Terengganu dan Sri Pahang FC yang belum menjulang apa-apa trofi bersama pasukan semasa meskipun sudah berada di situ sejak 2021.
1. Shahrul Nizam Ros Hasni
Dalam satu temu bual bersama media tempatan baru-baru ini, Shahrul Nizam Ros Hasni yang merupakan tonggak utama Terengganu FC berkongsi bahawa dia masih belum menjulang sebarang trofi meskipun sudah berusia 27 tahun.
Perkongsian itu sememangnya sesuatu yang sedikit dirasai penyokong kelab Pantai Timur tersebut kerana kualiti dimiliki bek tengah tersebut sepatutnya dibalas pelbagai pencapaian di atas padang.
Dia yang sudah beraksi buat skuad Sang Penyu sejak lima tahun lalu boleh dikatakan kurang bernasib baik memandangkan dia memiliki peluang cerah untuk mendakap beberapa kejuaraan di peringkat domestik.
Shahrul Nizam (kiri) merupakan tonggak utama pertahanan skuad Sang Penyu sejak lima tahun lalu. — Facebook/Terengganu FC
Ini kerana Shahrul Nizam atau lebih dikenali sebagai Nijey pernah membantu pasukan itu mara ke pentas akhir Piala FA 2022 dan Piala Malaysia 2023, namun kedua-duanya tidak membuahkan sebarang hasil.
Bagi kempen kali ini pula, skuad Sang Penyu sepatutnya berpeluang cerah untuk menjuarai edisi sulung Piala Shopee, namun tidak berkesempatan setelah kemaraan mereka disekat di peringkat kumpulan.
Episod duka itu sudah tentu sedikit mengecewakan Shahrul Nizam yang boleh berkelana ke kelab lain untuk menamatkan penantian, tetapi memilih untuk kekal kerana sudah selesa di bumi Darul Iman.
2. Rawilson Batuil
Dalam kalangan kelab Liga Super hari ini, Sabah FC merupakan antara pasukan yang paling lama tidak mendakap sebarang trofi memandangkan kali terakhir mereka berbuat demikian adalah ketika menjulang Piala FA 1995.
Meskipun pernah menjuarai Liga Perdana 2019, ia tidak boleh dianggap sebagai kejuaraan rasmi dengan penyokong skuad Sang Badak sendiri beranggapan kemarau trofi dialami mereka terlalu lama.
Namun, penantian yang seperti tidak berpenghujung itu tidak melunturkan nilai kesetiaan pemain, termasuk Rawilson Batuil yang masih belum menjulang trofi sepanjang kariernya di Borneo tanah air.
Rawilson (kanan) tidak pernah berkelana sepanjang bergelar pemain profesional. — Facebook/Sabah FC
Dia yang kekal atas dasar anak jati itu pernah membantu Sabah FC melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia sebanyak tiga kali, namun tidak berkesempatan membantu mereka ke pentas akhir.
Kekecewaan tersebut semestinya pahit untuk ditelan kerana dia boleh berhijrah ke mana-mana pasukan tempatan melihat kepada kebolehannya sebagai pemain pertahanan selain selaku kapten pasukan.
Bagaimanapun, Rawilson yang kini berusia 30 tahun seperti akan terus kekal bersama skuad Sang Badak selepas memulakan kariernya bersama kelab tersebut lebih 10 tahun lalu.
3. Baqiuddin Shamsudin
Dalam skuad Tok Gajah ketika ini, ramai dalam kalangan tonggak pasukan merupakan anak jati negeri Pantai Timur itu yang memilih untuk kekal meskipun tahu terdapat peluang cerah menjulang trofi bersama kelab lain.
Bagaimanapun, pemain seperti Nor Azam Azih yang sudah beraksi buat Pahang sejak 2015 masih berpeluang berasakan kenikmatan tersebut selepas muncul pemenang Piala FA 2018.
Tetapi, ada pula yang kurang bernasib baik setelah hampir lima tahun bersama skuad Tok Gajah dengan tiada sebarang kejayaan diraih sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Baqiuddin (kanan) menyertai skuad Tok Gajah pada 2021 selepas beraksi di UKM FC. — Facebook/Sri Pahang FC
Ini termasuk Baqiuddin Shamsudin yang menyertai kelab di negeri kelahirannya itu pada 2021 dari UKM FC, namun masih belum menjulang trofi kerana pasukan tersebut berada dalam tempoh kemerosotan ketika ini.
Meskipun masih terdapat peluang cerah untuk menamatkan penantian itu dalam saingan Piala Malaysia musim ini, prestasi semasa Sri Pahang FC membuatkan mereka sukar untuk memberi tentangan kepada pihak lawan, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Namun, Baqiuddin serta beberapa lagi anak jati Pahang sudah tentu akan tampil bersemangat untuk perlawanan akhir itu nanti dalam usaha membawa momen manis buat penyokong mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram