Seorang pemaaf, seorang lagi dirundung kecewa — begitulah resmi bola sepak


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Jumaat, 28 Feb 2025

Pemain-pemain Terengganu meraikan jaringan ke atas Sri Pahang.

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

JIKA dah rezeki kami, satu perlawanan boleh ubah keadaan,” begitulah kira-kira ungkapan diluahkan Badrul Afzan Razali selepas Terengganu FC (TFC) kendaliannya kembali ke landasan kemenangan dengan menundukkan Sri Pahang FC 5-1 di Stadium Temerloh pada Khamis.

Tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur FC di halaman sendiri pada 14 Februari, disusuli pendahuluan dua gol yang terlepas apabila Kuching City FC (KCFC) bangkit mengikat kedudukan 2-2 dalam tempoh dua minit di Kuala Terengganu seminggu kemudian, harus tidak ramai yang mengerti beban berat yang ditanggung ketua jurulatih berusia 48 tahun itu.

Daripada ramai yang bersuara melalui media sosial, lebih banyak yang menghentam daripada menawarkan kata-kata semangat. Mungkin hanya dimulai oleh seorang dua dengan komen jahat, yang lain terikut sama mencetuskan ‘pertandingan’ sesama mereka dalam merebut gelaran siapa yang paling berani.

BACA LAGI: 'Aku penyokong Selangor, tapi Castillejo ke JDT benda special'

BACA LAGI: Dulu saing di Portugal, 3 bekas rakan Safawi cipta nama bersama kelab elit Eropah

Dikongsikan dengannya ada warga maya yang memulakan kempen “Badrul Out” selepas kekecewaan mereka gara-gara keputusan seri dengan KCFC itu, beliau menganggapnya tidak lebih daripada asam garam dalam bola sepak – jurulatih tidak akan dapat memuaskan hati semua.

“Sebenarnya, saya tidak ‘ambil pot’ sangat dengan komen netizen ni. Komen pun percuma, bukan kena bayar. Lagipun, mereka bukan faham sangat dengan tanggungjawab dan cabaran dihadapi seorang jurulatih.

“Seperti mereka, tiada jurulatih yang mahu pasukannya kalah atau seri. Jadi, saya tak terkesan dengan komen seperti itu,” kongsinya dengan Bola Pegun.

Mengambil alih sebagai ketua jurulatih interim daripada Tomislav Steinbruckner yang terlerai ikatannya dengan TFC hasil persetujuan bersama pada 1 Oktober lalu, sudah banyak yang dilalui Badrul Afzan termasuk membawa kelab itu ke separuh akhir Piala Malaysia di samping meletakkan TFC di tangga keempat – berbanding tangga keenam pada hujung musim 2023.

Rakan sejawatannya di pihak Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, pula hanya dapat terus mengeluh terhadap ‘persembahan di bawah par’ oleh pemain-pemainnya yang tidak mampu berganjak daripada tangga ke-11 ketika berbaki hanya lima perlawanan lagi.

Sambil menyalahkan kekalahan itu kepada kesilapan pemain-pemainnya sendiri ‘menghadiahkan’ tiga daripada lima jaringan mudah kepada lawan, jurulatih berusia 62 tahun itu hanya dapat mengharapkan skuad Tok Gajah akan bangkit memperbaiki kedudukan selepas ini.

“Pemain banyak melakukan kesilapan, terutama dalam babak pertama termasuk kehilangan seorang pemain (kad merah Aleksandar Cvetkovic pada minit ke-27). Pertahanan terlalu cepat berada dalam kotak penalti hingga membenarkan pemain tengah Terengganu – Nurillo Tukhtasinov di tahap terbaiknya -- menguasai bola yang membolehkan mereka melakukan jaringan.

"Bagi saya, permainan Sri Pahang tidak seperti yang dipersembahkan sebelum ini dan selayaknya Terengganu mendapat kemenangan.

"Ini bukan hari Sri Pahang kerana bermain di bawah prestasi sebenar. Mudah-mudahan kita akan berusaha lebih baik untuk memperbaiki kedudukan dalam liga," tambahnya.

Lima gol TFC dijaringkan oleh Akhyar Rashid seawal minit kedua, Safawi Rasid (m-20), Safwan Mazlan (m-28), Ismaheel Akinade (m-59) dan Manuel Ott (m-89) manakala gol tunggal tuan rumah dijaringkan Sergio Aguero pada minit ke-39 bagi merapatkan kedudukan kepada 1-3 pada satu ketika.

“Ini dah rezeki kami dapat peluang selepas dua game kami bolos. Pemain-pemain betul-betul fokus dan dapat score awal (Akhyar m-2). Ditambah lawan 10 pemain, ia beri kelebihan kepada kami. Saya memang sasarkan mata, tak kisah (berapa) jaringan tapi terkejut dapat lima gol,” sambung Badrul Afzan.

“Secara keseluruhannya, disiplin pemain meningkat sebagai satu unit dan bila dapat peluang kita score. Pertahanan kita betul-betul fokus, jaga Kpah (penyerang Sri Pahang, Kpah Sherman, dengan menidakkannya ruang membuat percubaan).

“Kita nampak bertambah baik (di semua bahagian),” katanya.

Berbanding perlawanan lalu dengan KCFC yang mahu dijadikannya ‘titik peralihan’ buat pasukannya melonjakkan diri menuju ke penamat musim, jurulatih itu tetap bersyukur meskipun ia tiba satu perlawanan lewat.

Sambil kemenangan itu membuka kembali peluang mereka untuk menyaingi Sabah FC di tangga ketiga dengan kelebihan empat mata, TFC di tangga keempat juga perlu berawas dengan KCFC di tangga kelima dengan perbezaan empat mata tapi memiliki satu perlawanan dalam tangan.

“Kita kena fokus dengan game kita saja, kita akan bersaing sehingga perlawanan terakhir,” katanya.

Cabaran selanjutnya buat TFC akan bersambung dalam bulan puasa apabila mereka menjadi tuan rumah kepada Sabah FC pada 7 Mac – satu pertembungan kelompok teratas yang akan memberi gambaran lebih jelas terhadap siapa yang lebih berhak mengisi tangga ketiga.

Selepas Hari Raya Aidilfitri, skuad Hitam Putih itu akan berkunjung untuk berdepan Selangor FC pada 5 April. Untuk itu, TFC hanya meluangkan cuma sehari buat pemain menyambut lebaran, dengan latihan akan bersambung pada hari raya kedua. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram